Home Rencana PAS Johor

Memahami keutamaan dalam tindakan

86
SHARE

Firman Allah S.W.T :

اَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاۤجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ اٰمَنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ وَجَاهَدَ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۗ لَا يَسْتَوٗنَ عِنْدَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ لَا يَهْدِى الْقَوْمَ الظّٰلِمِيْنَۘ

Mafhumnya : “Apakah (orang-orang) yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam itu kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah. Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim”.

اَلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَهَاجَرُوْا وَجَاهَدُوْا فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ بِاَمْوَالِهِمْ وَاَنْفُسِهِمْۙ اَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللّٰهِ ۗوَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْفَاۤىِٕزُوْنَ

Mafhumnya : “Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa raga mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan”.

Surah At-Taubah : 19 & 20

Ayat di atas memberi panduan kepada kita agar terlebih dahulu mengenali dan mengutamakan perkara pokok dan utama daripada perkara cabang dan kecil.

Perbuatan memberi minum kepada jemaah haji dan mengimarahkan Masjidil Haram adalah perkara fardu kifayah dan furu’ jika dibandingkan dengan menjaga kesucian iman dan berjihad mempertahankan kesucian Islam yang lebih utama walaupun kedua-duanya adalah perkara kebaikan.

Begitu juga mendahulukan kepentingan umum adalah lebih utama daripada kepentingan peribadi melainkan dalam hal tertentu yang tidak boleh dielakkan.

Kita melihat ada pihak yang suka memperbesarkan perkara kecil seperti memperbesarkan perkara khilafiah dan mengadu domba sehingga mengakibatkan pertembungan berterusan sesama umat Islam.

Sayugia diingatkan dalam suasana umat Islam yang lemah kerana perpecahan, adalah menjadi keutamaan untuk menyatukan Ummah dan mengenepikan kepentingan lain.

Usaha ke arah penyatuan Ummah ini menjadi keutamaan dan menjadi ibadah penting bagi umat Islam selepas perkara fardu yang ini. Penyatuan Ummah akan dapat mengembalikan kesejahteraan dan kekuatan umat Islam dengan izin Allah S.W.T.

Apabila umat Islam telah punya kekuatan pastinya ia akan dihormati oleh kawan dan lawan. Pada waktu itulah kegemilangan Islam akan dapat dikembalikan semula secara berperingkat sebagaimana telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

Namun kefahaman tentang keutamaan (Fiqh Aulawiyyat) tidaklah dapat difahami dengan mudah melainkan kita terlebih dahulu memahami Maqasid Syariat Allah (matlamat sesuatu hukum itu ditetapkan oleh Allah).

PAS Johor menyeru dan menggesa semua pihak agar menjadikan usaha penyatuan ummah dan mengembalikan kestabilan negara sebagai agenda utama dalam situasi dunia pasca pandemik covid 19.

Berlapang dada, bertoleransi, prihatin dan cakna. Saling menghormati dan menyayangi. in syaa Allah Keluarga Malaysia sentiasa dipelihara oleh Allah.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor.