Home Artikel PAS Kelantan

Mampu pertahan Kelantan walau tiga penjuru

454 views
SHARE

KOTA BHARU: PAS yakin mampu mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum ini biar pun terpaksa berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, berdasar kehadiran penyokong pada hari penamaan calon menggambarkan sokongan rakyat tidak berubah.

“Bagaimanapun petugas PAS perlu bekerja keras untuk memastikan kejayaan kekal milik parti itu,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, semalam.

Hadir sama bagi memberi sokongan bekas Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan bekas Adun Wakaf Bharu, Ramli Abu Bakar yang juga wakil kepada calon Wakaf Bharu, Rosli Abdullah.

Pada pilihan raya umum ini Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi bertanding di kerusi Parlimen berdepan dengan Dato’ Wan Johani Wan Hussin dari BN dan Dato’ Nordin Salleh mewakili PKR.

PAS juga menampilkan dua calon lagi baru iaitu Ustaz Wan Roslan Wan Hamat di Pengkalan Kubor dan Adenan Hassan di Kelaboran.

Manakala di Kuala Krai juga berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi parlimen iaitu Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman mewakili PAS, Dato Ramzi Abdul Rahman (BN) dan Dr Mohd Yazid Abdullah (PKR).

Di Dun Mengkebang juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Ustaz Mohamad Sulaiman (PAS), Zaki Muhamad (BN) dan Wan Mohd Azlan Muhamad (PKR).

Dun Guchil pula berlaku pertembungan empat penjuru di mana PAS diwakili Hilmi Abdullah, Zubir Hasan (BN), Ruslan Puteh (PKR) dan Aziz Ahmad (Bebas).

Begitu juga di Dun Manek Urai turut berlaku pertembungan empat penjuru iaitu Mohd Fauzi Abdullah (PAS), Suzaini Adlina Shukri (BN), Deraman Mamat (Bebas) dan Mohamad Dahan Jali (PKR).

Dabong pula menyaksikan tiga penjuru iaitu Ku Mohd Zaki Ku Hussin (PAS), Mohamad Awang (BN) dan Wan Hazir Omar (PKR). – HARAKAHDAILY 29/4/2018