Home Berita PAS Kelantan

MALVEST, YAKIN sumbang RM50 ribu ke Tabung COVID-19

62
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 20 Jun: Kumpulan Malvest dan Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) melalui syarikat usahasama iaitu Kelmedic Sdn Bhd selaku pemaju Troika Kota Bharu menyumbang RM50,000 kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Pengerusi Kelmedic Sdn Bhd, Haji Azi Rahimee yang juga Pengarah YAKIN menyerahkan cek sumbangan tersebut kepada YAB Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob di Pejabat Menteri Besar, hari ini.
Dato’ Ahmad menyambut baik penglibatan pihak swasta dan agensi kerajaan seperti Kumpulan Malvest dan YAKIN bersama Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengatasi cabaran COVID-19.
Beliau juga berharap syarikat swasta turut memainkan peranan dalam pelbagai aspek seperti mematuhi prosedur operasi standard (SOP), menggalakkan pekerja menerima vaksin serta melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu rakyat Kelantan.
Tuan Haji Azi Rahimee ketika ditemubual berkata YAKIN bersama dengan Kumpulan Malvest memahami kepentingan pihak swasta untuk turut membantu dalam suasana yang mencabar ini. “Kami berharap vaksinasi Covid-19 khususnya di Kelantan dapat dijalankan dengan kadar yang lebih cepat supaya aktviti ekonomi dan sosial dapat pulih seperti biasa”.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Malvest Dato’ Haji Mohd Tajri Haji Abu Yamin pula memaklumkan beberapa usaha sedang dirancang di bawah program CSR Malvest2U untuk membantu memerangi pandemik COVID-19.
“Baru-baru ini, 30,000 pelitup muka premium keluaran Malvest telah disumbang kepada Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi untuk diedarkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kelantan”, katanya.