Home Berita PAS Melaka

Konvensyen buka minda kepentingan media sosial – Ketua Penerangan PAS Melaka

164
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 20 Jun : Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat yang berlangsung baru-baru ini dilihat benar-benar membuka minda peserta tentang betapa pentingnya media sosial sebagai sarana kempen, penyebaran informatif bagi mendidik, membina minda dan naratif netizen.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin ketika mengulas tentang konvensyen anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat yang berlangsung secara maya pada 18 dan 19 Jun lepas.

Tambah beliau lagi, ahli PAS mesti berani berperang di media sosial untuk menyampaikan informasi yang berfakta dan bukannya menyebarkan fitnah bagi memancing emosi dan kebencian netizen.

“Kita yakin setiap ahli PAS telah melalui proses tarbiah dan faham akan konsep akauntabiliti bukan sahaja di dunia juga di akhirat,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, jentera penerangan juga mesti tangkas dalam menghadapi serta mematahkan serangan musuh bagi memperbetulkan penyelewengan fakta oleh ‘tentera siber upahan’.

“Alhamdulillah, konvensyen pertama kalinya dibuat secara maya yang berlangsung selama dua hari ini telah disertai sekitar 1,000 peserta dari seluruh negara.

“Secara umum sebagai Ketua Penerangan PAS Melaka saya sangat berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan Program Konvensyen Penerangan yang berlangsung selama dua hari ini.

Bakri ketika sedang mengikuti konvensyen secara maya (Kredit foto : FB Haji Bakri Jamaluddin)

“Sekitar 53 orang AJK Penerangan Negeri, kawasan-kawasan dan dewan-dewan di negeri Melaka turut menyertai bersama dengan pemerhati-pemerhati yang dijemput dari Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua peserta khususnya dari Melaka dapat mengorak langkah mempertingkatkan gerak kerja dan melonjakkan pencapai media sosial ke tahap maksimum menjelang PRU-15.

“Menerima nasihat dan pandangan langsung melalui maya daripada pimpinan tertinggi parti sangat mengujakan dalam mengepam semangat kerja sepasukan bagi menyampaikan informasi, gerak kerja dakwah serta penyebaran Ilmu.

“Ini merupakan suatu pengalaman baharu bagaimana dalam suasana PKP dan pandemik Covid-19 gerak kerja penerangan PAS terus berjalan tanpa sempadan,” kata beliau lagi.

Tambah Bakri, apa yang menjadi buah tangan kepada konvensyen ini ialah tentang peri pentingnya setiap ahli PAS mesti menjadi ejen penerangan parti, berani dan gigih dalam menyampaikan dan menyebarkan informasi dan maklumat yang betul, tepat, cepat dan benar.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar ke Bilik Berita Wartawan Rakyat Melaka (WARM) sebentar tadi.