KOTA BHARU, 6 Oktober: Setiap mahasiswa harus menjadi agen penyampaian maklumat yang benar kepada masyarakat berpandukan fakta yang jelas dan tepat.
Timbalan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO ( U-BeS) Negeri Kelantan, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed berkata demikian dalam Majlis Perasmian Gathering Mahasiswa Kelantan di Dewan Johor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), semalam.
Katanya, dalam dunia yang mencabar hari ini, mahasiswa berperanan penting untuk membetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam.
“Dalam waktu yang sama, mahasiswa harus menjadi penyokong dan pendukung kerajaan Kelantan yang ada sekarang ini demi kelangsungan dasar Membangun Bersama Islam,” hurainya.
Program anjuran Markas Siswazah Kelantan itu turut diisi dengan ceramah oleh Pengarah Unit Pemantauan dan Perlaksanaan Strategik (SPARK) Negeri Kelantan, Dr. Nazmi Ghazali Azmi dan Pegawai Perubatan Unit NCD, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Muhammad Za’im Mohd Samsuri.
Majlis juga diserikan dengan penyampaian anugerah tokoh siswazah iaitu Anugerah Tokoh Siswa kepada Muhammad Rasydan Junuh dan Anugerah Tokoh Siswi kepada Nor Syahida Zol@Muhammad Zol yang kedua-duanya dari Universiti Malaya (UM).
Turut hadir, Presiden Markaz Siswazah Kelantan, Ustaz Nik Muhammad Akmal Hakim Muhamed dan Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim.