Home Berita PAS Kedah

MADA beri perhatian serius serangan Ulat Gulung Daun

36
SHARE

JERAI – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedaya upaya memastikan masalah serangan penyakit ke atas pokok padi sentiasa dapat diatasi agar tidak merencatkan pengeluaran beras.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman sendiri turun padang meninjau usaha kawalan dilakukan pihaknya terhadap serangan ulat gulung daun di Gelam 3 Bukit Besar, di sini kelmarin.

Menurut ADUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat yang turut sama dalam tinjauan itu, serangan ulat ini akan mengakibatkan pertumbuhan padi menjadi terencat dan akan merosakkan pokok padi.

“Seterusnya tidak akan mampu tumbuh dan mengeluarkan hasil padi seperti yang diharapkan. Bahkan, jika tidak dikawal segera, ia akan semakin merebak ke petak lain dan boleh menyebabkan serangan berskala lebih besar.

“Jika pak tani mengawal di peringkat awal, insya-Allah pemulihan daun dan pokok padi akan mampu dilakukan. Perkara ini telah diperingatkan oleh pihak MADA kepada seluruh pak tani dan langkah awal telah dilakukan segera.

“Semoga kempen yang telah digerakkan ini akan lebih menyeluruh dan perhatian semua pihak khasnya pak tani terhadap tanaman mereka akan terus meningkat,” ujar beliau.

Pada lawatan dihadiri sama Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli itu, mereka berkesempatan melihat aktiviti semburan racun ulat gulung daun menggunakan drone semburan racun yang dikendalikan oleh PPK D-IV, Permatang Buloh.

Dalam pada itu Ahmad Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik memberitahu, ulat tersebut
merupakan salah satu perosak utama dalam industri tanaman padi terutamanya di negara ini.

Beritahu beliau, ciri berwarna putih kekuningan dengan terdapat garisan perang merentangi bahagian kepak di mana ulat ini mampu bertelur sebanyak 250 biji dan ia perlu cepat dihapuskan.

“Agar ianya tidak membiak dengan lebih banyak. Secara lazimnya, larvanya akan menetas dalam masa 5 hari sahaja dan pada masa itulah larva ini akan menyerang daun dari peringkat muda dan dewasa.

“Larva akan menyerang pokok padi daripada peringkat awal pertumbuhan sehingga padi berbuah dengan menggulung daun dan mencantumkannya di bahagian hujung.

“Kemudiannya larva tersebut akan makan bahagian hijau daun sehingga meninggalkan bahagian kutikelnya,” terang beliau.