Home Berita PAS Kelantan

LTSIP mampu tampung 4 juta penumpang setahun

299
SHARE

Oleh CHE MAZIAH MAT

KOTA BHARU, 9 Sept: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa bakal mencapai kapasiti penumpang sebanyak 4 juta setahun apabila projek pembesaran dan menaik taraf yang dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2024. LTSIP ialah pintu udara domestik ketiga teraktif selepas Miri (Sarawak) dan Subang (Selangor) dengan 25 penerbangan sehari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, selepas siap projek ini, LTSIP akan bersedia untuk mengendalikan pesawat antarabangsa dengan lebih selesa.

“Kerja -kerja menaik taraf LTSIP ini bukan hanya untuk keselesaan, malah ia bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat”, katanya baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan, skop utama projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pengubahsuaian bangunan terminal sedia ada seluas 12,400 meter persegi, serta pembinaan terminal tambahan dengan keluasan lantai sebanyak 25,517 meter persegi. Termasuklah dari segi pemasangan Inline Baggage Handling System, pemasangan enam unit Passenger Boarding Bridge (PBB) dan lapan unit Visual Docking Guidance System (VDGS) baharu.

Tambahnya, penambahbaikan bagi kemudahan penumpang dengan pembinaan bangunan parkir kereta bertingkat yang mampu memuatkan 1,300 petak berbanding hanya 300 petak pada masa sekarang. Lima jambatan udara (aerobridge) juga ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 11 jambatan.

“Kita harap projek pembinaan ini dapat disiapkan sebagaimana yang dijadualkan seperti titah Sultan Muhammad V, jadi bagi pihak kita, amatlah menaruh harapan yang tinggi dengan komitmen pihak kontraktor yang dipilih memandangkan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam skop pembinaan ini,” katanya.

Hadir bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor, meninjau perkembangan terkini kerja-kerja menaik taraf LTSIP.