Home Berita PAS Kelantan

KUFC mampu bangkit – Dato’ Che Abdullah

78
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 11 Sept: Presiden Kelantan United Football Club (KUFC), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menggesa pemain Sang Kijang Hijau mempamerkan aksi terbaik pada baki dua perlawanan Liga Premier musim ini.

Dato’ Che Abdullah tetap optimis yang anak buah Nazrulerwan Makmor juga tidak mahu kecewa lagi seterusnya mendapatkan tiga mata ke atas Kuching dan Terengganu II.

Hal ini berikutan KUFC mengalami penurunan prestasi sebaik sahaja saingan liga bersambung.

Mereka hanya mencatatkan satu kemenangan dan sekali seri serta tewas berturut-turut termasuk kepada Skuad Projek FAM-MSN.

“Dua perlawanan bertemu Kuching City FC dan Terengganu II perlu dihabiskan dengan keputusan terbaik. Hanya kemenangan akan memulihkan kita dari penamat suram. Saya yakin para pemain akan bangkit dan mencapai kejayaan pada dua perlawanan tersebut”, katanya ketika dihubungi.

Beliau percaya kerja keras adalah kunci kejayaan.
“Pemain perlu lihat diri sendiri dan kenal pasti apa yang mampu mereka buat untuk mengutip enam mata maksimum. Mereka mampu sebenarnya untuk bangkit semula namun tidak boleh terlalu memikirkan kekecewaan lalu terutamanya setelah ditundukkan pada aksi terakhir tempoh hari”, tambahnya.

Sehubungan itu, Dato’ Che Abdullah mahu semua pemain tidak menoleh ke belakang dan terus bersemangat membenamkan lawan mereka seterusnya membuktikan musim mereka sebenarnya belum tamat selagi perlawanan masih berbaki.