Home Berita PAS Kelantan

LTSIP buka peluang kerja kepada anak Kelantan

351
SHARE


KOTA BHARU, 15 Dis: Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak Kelantan.

Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani berkata projek tersebut membuka peluang rezeki kepada rakyat tempatan antaranya dalam bidang pengurusan dan operasi. Hampir separuh daripadanya iaitu 58 peratus (49 staf) adalah anak tempatan.

Tambahnya, selain 50 buruh binaan yang terdiri daripada penduduk sekitar, terdapat juga sembilan pekerja tempatan daripada Program PROTÉGÉ (Ready to Work) untuk graduan ijazah yang diserap masuk bekerja selepas lapan bulan menjalani latihan atas faktor komitmen dan kebolehan yang ditunjukkan kepada syarikat.

Dalam pada itu, Mohd Amir Ikhwan Mohd Zaupi, 25, dari Pintu Geng, Kota Bharu adalah graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Pengurusan Pembinaan berkata, beliau telah terlibat dengan Program PROTÉGÉ pada Ogos 2021 telah diambil bekerja oleh syarikat WCT Construction Sdn Bhd sebagai Penyelia Tapak setelah tamat program tersebut.

“Sebagai anak Kelantan, saya berbangga kerana dapat berkhidmat dan terlibat secara langsung dalam operasi pembinaan LTSIP ini, stigma yang mengatakan negeri ini tidak mempunyai peluang pekerjaan adalah tidak tepat, kerana pucuk pangkalnya bergantung kepada diri sendiri. Peluang ada cuma kita perlu berusaha untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di tapak projek, semalam.

Anak Kelantan yang berminat menyertai pasukan projek tersebut sama ada dalam bidang pengurusan, keselamatan, teknikal, mekanikal dan pekerja am boleh menghubungi Pengurus Sumber Manusia WCT Sdn Bhd, Nur Nusyura Mohd Azani di talian 0148251654 untuk dinilai kelayakan bagi mengisi kekosongan jawatan yang bersesuaian.