Home Ketua Penerangan PAS Pusat

LKAN: Beri Keutamaan Tindakan Isu Keselamatan

398
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

LKAN: Beri Keutamaan Tindakan Isu Keselamatan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat syor Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) supaya ditubuhkan Jawatankuasa Siasatan adalah keperluan kritikal yang mesti disegerakan. Ia penting bagi menangani isu penyelewengan, pembaziran dan pemborosan termasuk kecuaian dan kegagalan tanpa sebab munasabah hingga memberi kesan kepada perjalanan kerajaan.

Syor ini bukan sahaja akan mengatasi masalah seperti dinyatakan, tetapi ia juga satu bentuk kemaskini tadbir urus semasa, sekali gus memastikan kemahiran, pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan berterusan diperkasakan. Ini agar segala agenda kerajaan mencapai objektifnya, manakala segala kelemahan, pembaziran dan kegagalan dapat dikurangkan semaksimumnya.

Selain terhadap hal aset, perakaunan akuan dan pelaksanan perancangan, teguran LKAN mengenai kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara menuntut perhatian serius dan tindakan komprehensif dilaksanakan. Antara isu berkaitan adalah kelemahan dan kegagalan ketara Sistem MyIMMs.

Dalam hanya 3 tahun telah berlaku 4,489 kali gangguan sistem milik Jabatan Imigresen Malaysia itu menyebabkan 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia. Walaupun sistem kerap mengalami ‘downtime’ ini bersifat teknikal pengoperasian, tetapi ia bukan semata-mata menjejaskan integriti data atau rekod, tetapi paling besar adalah risiko terhadap keselamatan negara.

Kegagalan integrasi Sistem MyIMMs yang berurusan dengan 29 ‘patch on’ sistem lain adalah terlalu mencurigakan di mana ia tentunya membuka ruang berleluasanya pencerobohan dan kecurangan di pihak penguat kuasa. Ini telahpun dibuktikan bukan sahaja dari LKAN dibentangkan tersebut, bahkan dari beberapa pendedahan dan kenyataan oleh pihak Polis Diraja Malaysia minggu lalu.

Oleh itu PAS berharap isu ini diberi perhatian untuk dibentuk tindakan keutamaan oleh pihak kerajaan agar segala kemungkinan buruk, termasuk persepsi, kebimbangan dan ketidakyakinan awam dihentikan secepatnya. PAS yakin dan percaya Kerajaan PN pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki iltizam politik (political will) yang kuat untuk mengatasi dan menambahbaik perkara ini.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
15 Julai 2020 | 23 Zulkaedah 1441