Home Artikel PAS Johor

Lawatan Konsulat General Singapura ke Pejabat PAS Johor

652
SHARE

JOHOR BAHRU – PAS Johor dengan sukacita menerima lawatan daripada Konsulat Jeneral Singapura di Pejabat PAS Negeri Johor semalam, di sini.

Delegasi Konsulat Jeneral Singapura ini disambut meriah oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin bersama Setiausaha PAS Negeri Johor, Ahmad Al Johari Yusof dan Setiausaha Politiknya, Zaini Ahmad.

Mewakili pihak Konsulat Singapura ialah Jeevan Singh(Jeneral Konsul), K Faizal (Timbalan Konsul) dan Lin Jiayi (Konsul). Ketiga-tiga mereka daripada Pejabat Konsulat Jeneral Singapura Johor Bahru. 

Kedua pihak bertukar pandangan dan isu semasa dari kedua buah negara. 

Menurut Jeevan, isu COVID-19 dirasai oleh kedua buah negara, Malaysia dan Singapura. Isu ini akan mengambil masa yang lama untuk diatasi.

Katanya, “wabak ini turut memberi kesan terhadap sektor pelancongan seterusnya memberi impak terhadap ekonomi negara”.

Jeevan juga turut berkongsi bagaimana Singapura mengamalkan sistem persekolahan satu aliran walaupun dahulu turut punyai sekolah-sekolah vernakular. 

“Usaha untuk menyatukan sistem persekolahan kepada satu sistem mengambil masa yang lama, lebih 10 tahun untuk memahamkan pelbagai pihak yang terlibat”. 

Pesuruhjaya PAS pula berkongsi keadaan politik semasa PAS yang sedang fokus menggerakkan Muafakat Nasional bersama UMNO serta parti-parti komponen BN. 

Beliau bersyukur kerana ahli-ahli PAS dilihat faham dan dapat mematuhi arahan pimpinan dalam permuafakatan ini. 

“Hasilnya dapat dilihat di PRK Tanjung Piai dan beberapa PRK lain di mana ahli PAS turut membantu kempen PRK yang ditandingi oleh calon daripada UMNO dan MCA”, ujarnya.

“Inilah kekuatan yang ada dalam PAS, yang ahlinya mentaati seruan dan arahan pimpinan”, katanya lagi.

Pertemuan ini diakhiri dengan kedua-dua pihak bertukar cenderahati tanda kenangan.

Fariq Amin.