Home Artikel PAS Perlis

Ambil Ibrah Dari Perang Tabuk

426
SHARE

Oleh: Amirul Syakirin

KANGAR : Para pendokong perjuangan PAS diingatkan agar mengambil pengajaran daripada empat perkara yang berlaku dalam Perang Tabuk.

Menurut AJK PAS Pusat, Dr. Riduan Mohamad Nor empat perkara berkenaan sekiranya dihayati bersungguh-sungguh, mampu menjadi motivasi yang paling ampuh yang akan membakar semangat mereka untuk terus berjuang mempertahankan Islam.

“Dalam Peristiwa Perang Tabuk Allah telah gambarkan kepada kita empat ujian besar yang telah baginda Nabi dan para sahabat tempuhi.

“Pertamanya, Allah telah tetapkan berlakunya perang (Tabuk) pada musim panas manakala ujian kedua pula, Umat Islam terpaksa berhadapan dengan kuasa besar dunia iaitu Rom dan beberapa gabungan kabilah Arab yang lain.

“Ketiga, berlakunya perang tersebut pada ketika musim buah-buahan sedang masak di Madinah dan yang keempat, kuantiti tentera musuh jauh lebih ramai daripada tentera Islam,” katanya ketika berucap pada Liqa’ Fikri PAS Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) dekat sini baru-baru ini.

Keempat-empat perkara ini ujarnya, telah menjadi ujian yang amat besar kepada para sahabat kerana mereka terpaksa memilih sama ada mahu tetap dengan perjuangan atau meninggalkannya demi kepentingan diri.

Namun, atas faktor keimanan yang kukuh, para sahabat tambahnya, tetap memilih untuk meninggalkan kepentingan masing-masing kerana mengutamakan perjuangan membela agama Allah S.W.T. bersama-sama Rasulullah S.A.W.

Walaubagaimanapun kata Dr. Riduan, masih terdapat segelintir daripada mereka yang memilih untuk tidak turut serta dalam rombongan ke medan Tabuk sepertimana yang tercatat dalam sirah, lalu mereka ini kemudiannya dikenakan hukuman oleh Rasulullah S.A.W.

“Dalam hal ini, Nabi S.A.W. mahu mengajar kepada orang-orang yang beriman bahawa tiada kompromi dalam perkara jihad dan perjuangan manakala semua umat Islam tidak terlepas daripada tanggungjawab menjaga agama Allah.

“Begitu besarnya tuntutan berjuang ini, sehingga Nabi sendiri memulau sahabat tadi walaupun mereka sudah bertaubat secara bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Beliau turut menyeru semua ahli PAS supaya tetap sabar dan taat kepada para pimpinan sepertimana para sahabat taat dan wala’ pada Rasulullah S.A.W., agar pengorbanan yang dilakukan mereka diterima oleh Allah S.W.T. dan diganjarkan dengan nikmat kemenangan.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli serta Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob.