Home Artikel PAS Melaka

Tambahan 200 unit lagi tablet menyusul – Mas Ermieyati

518
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 21 Feb : Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan bahawa pihaknya akan menambah sebanyak 200 unit lagi tablet Samsung untuk program bantuan untuk pelajar-pelajar sekolah dalam kalangan pelajar B40 dalam kawasan Parlimen ini.

Menurut beliau, ini adalah susulan daripada rayuan yang dibuat oleh mereka yang tidak terpilih untuk menerima bantuan itu yang diserahkan dalam satu majlis hari ini.

“Hari ini kita bagi 100 unit untuk peringkat permulaan. Kerana permohonan yang tinggi daripada orang ramai, saya akan tambah lagi 200 unit.

“Insya-Allah kita akan serahkan dalam minggu hadapan,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi.

Beliau menjelaskan bahawa sebenarnya ada 1800 orang yang telah memohon untuk mendapatkan bantuan tablet ini.

“Permohonan diuruskan oleh pihak sekolah-sekolah rendah dan menengah sekitar Masjid Tanah. Kemudian nama-nama itu diserahkan kepada kami untuk dibuat carian maklumat latar belakang pemohon.

“Daripada 1800 orang yang memohon itu kita dapati hanya 800 orang yang betul-betul layak. Dan kita dah serahkan semula nama-nama itu pada pihak sekolah untuk mereka saring pula.

“Ada banyak lagi faktor termasuk pencapaian akademik murid itu selain pendapatan keluarga yang jadi faktor pemilihan. Jadi kita dapat jumlah 100 orang yang kita bagi pada hari ini,” ujar beliau lagi.

Ada banyak lagi faktor termasuk pencapaian akademik murid itu selain pendapatan keluarga yang jadi faktor pemilihan.

Beliau yang juga merupakan Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah berkata, untuk tambahan 200 unit lagi ini, bakal penerima akan diambil daripada senarai permohonan 700 orang lagi yang layak namun tidak berjaya untuk peringkat pertama ini.

“Saya harap mereka yang ada dalam senarai itu bersabar. Pegawai-pegawai saya akan hubungi nanti,” ujar beliau ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di dalam majlis penyerahan tablet bantuan tersebut yang dibuat secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah, pagi tadi.