Home Berita PAS Kedah

Langkawi bakal dibuka semula untuk pelancongan

76
SHARE

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia semenjak tahun lalu telah memberi impak yang sangat besar kepada industri pelancongan dunia. Negeri Kedah atau secara spesifiknya Pulau Langkawi turut menerima impaknya. Boleh dikatakan hampir keseluruhan sektor pelancongan di Pulau Lagenda ini terjejas dan menunggu masa untuk ‘dikuburkan’.

Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan sektor pelancongan ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah, Lembaga Pembangunan Langkawi, agensi – agensi pelancongan di Negeri Kedah dan lain-lain yang sentiasa memberi pandangan dan sokongan padu bagi memulihkan sektor ini.

Pada 14 Jun 2021 yang lalu, YB Menteri Pelancongan Malaysia telah mengumumkan supaya lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasi secara besar-besaran bagi mencapai status imuniti kelompok sekurang-kurangnya 70 peratus agar sektor ini dapat dibuka semula. YB Menteri juga memaklumkan Pulau Langkawi adalah antara kawasan yang akan diberi keutamaan bagi perkara ini.

Pengumuman YAB Perdana Menteri di dalam Pelan Pemulihan Negara ada menyatakan untuk mempertimbangkan kebenaran rentas negeri di dalam Fasa Ke-4 pelan tersebut bergantung kepada perkembangan semasa kes jangkitan COVID-19 pada waktu tersebut. Dengan pengumuman ini, Kerajaan Negeri Kedah mengambil langkah untuk menumpukan kepada usaha untuk memvaksinasikan seramai mungkin penduduk negeri Kedah khasnya penduduk di Pulau Langkawi.

Populasi penduduk Pulau Langkawi yang layak untuk divaksin adalah sekitar 76,400 orang. Bagi mencapai maksud imuniti kelompok 70 peratus dari jumlah tersebut harus divaksin iaitu anggaran seramai 53,480 orang. Sasaran ini perlu dicapai pada September 2021 bagi menyakinkan orang ramai khususnya pelancong yang akan berkunjung ke sini kelak. Dijangkakan pulau peranginan ini akan dapat dibuka secara berperingkat menjelang November 2021 jika semua prosedur dipenuhi terutama melibatkan vaksinasi imuniti kelompok dan kadar jangkitan COVID-19 semasa yang menurun pada ketika itu.

Kerajaan Negeri Kedah telah berusaha dengan beberapa agensi seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan beberapa agensi lain dengan kerjasama Pasukan Jawatankuasa Pemikir Pelancongan Daerah Langkawi yang dianggotai oleh LADA, Majlis Daerah Langkawi, Pejabat Daerah Langkawi, Kedah Tourism dan juga ‘Product Owner’ bagi mencapai imuniti kelompok ini. Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan telah dicadang dan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan khidmat pemberian vaksin dari rumah ke rumah juga telah dibincangkan bagi mempercepatkan kaedah pemberian vaksin di Pulau Langkawi. Kerajaan Negeri Kedah memandang serius usaha ini, memandangkan Pulau Langkawi merupakan permata Kedah yang paling bernilai di dalam sektor pelancongan.

Kerajaan Negeri Kedah berharap, sektor pelancongan ini dapat dibuka semula walaupun ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) yang diperketat. Pembukaan semula industri ini terutamanya di Pulau Langkawi akan memberi nafas baharu memandangkan pemain-pemain industri ini telah lama tenat dan perlu diberi keutamaan bagi merancakkan semula sektor ini.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama berusaha ke arah menjadikan Pulau Langkawi sebagai kawasan imuniti kelompok yang berjaya. Sentiasalah patuh kepada SOP dan segera mendaftar bagi yang belum mendaftar. Marilah kita bersama-sama menjayakan usaha murni ini bagi menghidupkan kembali sektor ini.

YB TUAN MOHD FIRDAUS AHMAD
Exco Pelancongan Negeri Kedah