Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Laksana Syariat Islam bendung murtad

256 views
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 174/45
28 Feb 2018 | 11 Jamadilakhir 1439H

LAKSANA SYARIAT ISLAM BENDUNG MURTAD

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.
https://m.facebook.com/kpenerangan


1. Keputusan yang dicapai Mahkamah Persekutuan di Kuching kelmarin memberikan makna yang mendalam terhadap perjuangan mengangkat martabat Mahkamah Syariah di negara ini.

2. Ia sekaligus memberi nafas kepada institusi mahkamah syariah bagi mengadili keputusan yang melibatkan urusan umat Islam.

3. PAS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan peguam dan pihak yang terlibat bagi memastikan kemenangan dalam pendengaran kes tersebut.

4. Meskipun masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, sekurang-kurangnya keputusan tersebut memberi satu signal penting mengenai kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

5. Perlu dipertegaskan di sini bahawa isu murtad adalah suatu jenayah yang besar di sisi Islam dan ia hanya dapat dibendung melalui pelaksanaan syariat Islam. Maka, sebutan kes yang berlaku ini bukan perkara kecil dan boleh dipermainkan.

6. Murtad dianggap sebagai kesalahan yang besar sehingga dikenakan hukuman yang berat kerana ia mencabuli kedudukan harta benda, hak milik dan status perkahwinan mereka yang terbabit. Ia memberikan kesan kepada kehidupan manusia di dunia dan juga di akhirat.

7. PAS meletakkan keyakinan bahawa perlaksanaan syariat Islam yang komprehensif mampu membendung gejala murtad daripada terus berleluasa.

8. Ketika kita membicarakan soal kejayaan keputusan Mahkamah Persekutuan Kuching, kita juga tidak harus lupa bahawa ancaman murtad di negara ini adalah sesuatu yang serius.

9. Justeru, saya menyeru semua pihak untuk memberikan perhatian yang serius dan komitmen yang sepenuhnya terhadap isu ancaman murtad di negara ini terutamanya gerakan yang dicetuskan oleh pendakyah Kristianisasi dan Islam Liberal yang semakin berkembang.

10. Kerajaan digesa segera memperkasakan kedudukan dan fungsi Mahkamah Syariah serta mengadakan perutukan tertentu dalam undang-undang sedia ada bagi menangani isu murtad di negara ini.

11. Lima (5) perkara yang perlu dilakukan oleh Kerajaan bagi membolehkan gejala murtad dicegah dengan lebih berkesan seperti yang diusulkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang pada Mac 1998 di Dewan Rakyat hendaklah diberikan perhatian.

12. Dalam masalah ini, sekalipun dengan keterbatasan yang ada dan halangan yang wujud, PAS telah menunaikan kewajipan untuk menyelamatkan akidah umat Islam dengan menggubal Seksyen 23 (3) dan 23 (4) Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukuman Hudud) Negeri Kelantan dan Seksyen 26 (1) dan 26 (2) Enakmen Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002.

13. PAS optimis bahawa dengan kesatuan umat Islam di negara ini menghadapi ancaman murtad yang semakin berleluasa, undang-undang ini akan dapat dilaksanakan pada suatu masa nanti.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.