Home Kenyataan Media PAS Sabah

Kunjungan hormat PAS ke Pejabat Kesihatan dan JHEAINS cadang masjid dibuka

203
SHARE

 

Oleh : Hadjabal Abu Saini
22 April 2021

SANDAKAN : Susulan penutupan operasi masjid dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Sandakan pada 17 April hingga 30 April 2021, PAS telah bertemu dengan pihak Jabatan Kesihatan Sandakan bagi membincangkan perkara tersebut semalam.

Kunjungan hormat itu yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid di Pejabat Kesihatan Sandakan dekat sini telah mengemukakan beberapa justifikasi atas cadangan tersebut.

Katanya, PAS tampil bagi membawa suara hati umat Islam di daerah ini yang berhajat operasi masjid tidak dihentikan memandangkan kes di Sandakan tidak terlalu tinggi dan sudah menurun kepada satu digit mutakhir ini.

“Umat Islam sangat terkilan dengan penutupan ini memandangkan Ramadan baru disambut tidak sampai seminggu, justeru kami hadir membawa aspirasi umat Islam,” ujar Sahar yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.

“Jika dilihat, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di masjid adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi lain seperti pasaraya, kedai runcit dan pasar awam,” ulasnya lagi.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Sandakan juga menambah bahawa sekiranya masjid tidak boleh dibuka sepenuhnya, pihak berkuasa boleh mencadangkan agar ianya dibuka dengan kapasiti tertentu contohnya 70% dari keluasan masjid.

Ketika menerima kunjungan tersebut, Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar memberikan respon yang positif terhadap cadangan yang disampaikan disamping memberi saranan tertentu agar usaha ini dapat direalisasikan.

Katanya jika masjid dibenarkan beroperasi, pihak jawatankuasa masjid perlu memastikan semua SOP dipatuhi seperti wajib memakai mask, solat dalam keadaan jarak 1 meter, membawa sejadah sendiri dan lain-lain.

Dalam kesempatan berkenaan juga, Dr Johari telah memberikan penerangan berkaitan situasi kesihatan di daerah ini antaranya berkaitan wabak COVID-19, pendaftaran vaksin COVID-19, penyakit malaria dan lain-lain.

Terdahulu, sehari sebelumnya iaitu pada selasa, PAS turut mengadakan kunjungan hormat bertemu dengan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, Haji Romzi Bin Rahman di Batu 7, Sandakan bagi mengusulkan perkara yang sama.

Haji Romzi dalam pertemuan itu telah menyambut baik usaha yang dibuat oleh PAS dan menyatakan bahawa pihaknya juga akan memainkan peranan yang sewajarnya agar usaha ini boleh direalisasikan.

Hadir sama dalam kedua-dua kunjungan hormat berkenaan ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain.