Home Artikel PAS Kelantan

Kumpulan PKINK Sumbang Rm100 Ribu Isi Tabung Madinah Ramadan

208 views
SHARE

KOTA BHARU– Selain mementingkan kebajikan rakyat, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) turut mengutamakan majlis ilmu dan ibadat di negeri ini.

Seperti tahun sebelumnya, PKINK merupakan antara penyumbang utama dalam menjayakan program Ihya Ramadan di Madinah Ramadan buat kali ke 23 tahun ini. Sumbangan bernilai RM 100 ribu telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (HEK) Kumpulan,Ab Aziz Yunus kepada Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob.

Aziz berkata, PKINK berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan negeri dalam menyemarakkan suasana Ramadan supaya bulan ini sentiasa dipenuhi dengan kebajikan dan amal ibadah.

“Madinah Ramadan yang dikendalikan oleh MPKB-BRI itu menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mengembangkan syiar Islam dan mengekalkan Kelantan sebagai negeri Serambi Mekah.

“Saya berharap program yang sentiasa mendapat sambutan luar biasa masyarakat pada setiap tahun itu mampu mengangkat martabat negeri Kelantan sebagai negeri yang mempunyai produk pelancongan Islam dan mampu menjulang nama Kelantan di mata dunia,” katanya selepas majlis perasmian Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Terdahulu Ahmad menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah bersama hampir 2,000 jemaah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Ahmad Robert Abd Rahim.

Pada majlis itu juga, Ahmad telah melancarkan Tabung Ihya Ramadan yang telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1.39 juta setakat ini termasuk peruntukan RM600,000 daripada kerajaan negeri.- FB PKINK 23/5/2018