Home Setiausaha Agung PAS

Jawatankuasa Siasatan Isu 1MDB

2,816 views
SHARE

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) menerima baik langkah Kerajaan Persekutuan menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Kes 1MDB yang diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman. PAS yakin Jawatankuasa tersebut akan menjalankan siasatannya dengan profesional ‘without fear or favour’.

PAS juga mengharapkan Jawatankuasa berkenaan akan menemui dan merumuskan suatu hasil siasatan yang baik serta bermanfaat untuk negara dan rakyat serta sekali gus dapat membawa semua pihak yang terlibat ke muka pengadilan mengikut saluran undang-undang.

Sehubungan dengan itu PAS dengan ini mengesahkan tidak berlibat dan tidak bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan lain mengenai isu di atas yang dibuat atas nama PAS, sama ada oleh Pimpinan mahupun ahli PAS. Ini termasuklah satu kenyataan khusus yang disiarkan dalam media oleh seorang yang menamakan dirinya ‘Peguam PAS’ yang antaranya bertajuk “Kenyataan SPRM prejudis pada Najib”. Kenyataan berkenaan tidak ada kaitan dan tidak sekali-kali mewakili PAS, sebaliknya adalah kenyataan individu berkenaan semata-mata.

PAS telah menetapkan kenyataan rasmi PAS berkaitan pandangan dan pendirian PAS dalam semua isu-isu utama hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS sahaja.

Terima kasih.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung.

Bertarikh: 23 Mei 2018