Home Minda Presiden

Kumpulan Islam pemula menentang penjajah

94
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 3 / 2024]
KUMPULAN ISLAM PEMULA MENENTANG PENJAJAH


Islam yang sempurna datang ke Nusantara dan semua wilayah pada zaman keemasan tamadun Islam, diperintah oleh Islam yang sempurna dan adil apabila ditadbir dengan hukum Islam. Islam bukan sahaja dianut oleh rakyatnya, bahkan termasuk negaranya yang berdaulat bersama raja dan pemimpin yang memerintah dengan hukum Islam, sehingga rakyat bukan Islam lebih reda berada di bawah kerajaan Islam. Namun, zaman kelemahannya melaksanakan Islam menyebabkan negara Islam menjadi mangsa penjajah.

Hukum fardu ‘ain menentang penjajah membangkitkan seluruh umat untuk menentang penjajahan atas nama jihad fardu ‘ain. Maka, dilawan penjajah yang menjajah dengan keganasan dan kezalimannya, ketika belum lagi muncul golongan nasionalis yang condong ke kanan bersama ideologi Barat yang liberal atau condong ke kiri bersama ideologi komunis dan sosialis.

Semua pahlawan nasional yang berjihad ialah para ulama’ dan raja yang kuat agamanya seperti Sultan Diponegoro, Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin III, serta para ulama’ seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tuan Guru Muhammad Hassan (Tok Janggut), Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain.

Kemudian, ditubuhkan pusat-pusat pengajian Islam seperti pondok dan pesantren melalui pendidikan bagi melawan gerakan pembaratan. Ditubuhkan pula Sarekat Dagang Islam (kemudian dikenali dengan Sarekat Islam) melawan Syarikat Hindia Timur Belanda dan Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui ekonomi. Semuanya melibatkan kumpulan Islam, namun jihad berperang juga dilakukan.

Para orientalis seperti Lord Cromer, Snouck Hurgronje dan lain-lain membuat andaian bahawa kebangkitan semula Islam yang menegakkan negara asalnya dengan kuasa politik Islam adalah kebangkitan paling berbahaya kepada negara Barat. Maka, mereka merancang bagi menghalang penubuhan semula negara Islam dengan melahirkan kumpulan sekular, tanpa mengira kanan atau kiri, dengan diberi kuasa memerintah negara selepas merdeka pada namanya dengan ideologinya.

Maka, dibentuk kumpulan kanan dan kiri untuk diserahkan kemerdekaan itu. Ramai kalangan yang jahil agama terperangkap dengan kumpulan kanan liberal serta kumpulan kiri komunis dan sosialis, apabila mereka menganggap politik bukan sebahagian daripada ajaran Islam.

Maka, berlakulah usaha merampas perjuangan Islam di beberapa negara di benua Asia dan Afrika. Mereka lebih rela kerajaan diserahkan kepada kumpulan kiri oleh penjajah Barat mengikut kesesuaiannya, walau tidak berjaya diserah kepada kumpulan pro-Barat sekalipun, yang penting bukan kumpulan Islam.

Di Malaysia, kumpulan pro-Barat menggagalkan kuasa komunis selepas kekalahan Jepun kerana komunis didominasi oleh kaum Cina. Adapun di Indonesia, kumpulan pro-sosialis pada zaman Sukarno berjaya digerakkan, sehingga berlaku rampasan kuasa komunis yang gagal pada tahun 1965.

Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy telah berjaya menyelamatkan kumpulan Islam dengan penubuhan Hizbul Muslimin. Setelah parti itu diharamkan, kemudiannya ditubuhkan PAS (Persatuan Islam Se-Tanah Melayu). Mereka yang jahil politik Islam walaupun kuat amalan agamanya, ada yang menyertai komunis atas nama menentang penjajah, kerana menurut fahamannya politik berpisah daripada agama Islam. Ada yang masih mendirikan solat dan melaksanakan haji, tetapi berideologi komunis.

Masih ramai dalam kumpulan Melayu yang bersemangat kebangsaan Melayu tanpa ideologinya, maka mereka terselamat dalam istilah sehingga tidak ada beza antara Melayu dan Islam. Mereka sangat mudah kembali kepada Islam yang sempurna, maka ramai yang tidak terpengaruh dengan komunis yang menentang penjajah atas prinsip yang sesat dan salah. Sebaliknya, mereka yang bebal politik Islam sahaja yang menghargai kumpulan komunis.

Dalam lawatan saya ke Thailand, kalangan komunis Melayu memberi risalah perjuangannya, menunjukkan kefahaman mereka yang salah. Hal ini demikian kerana, mereka menganggap perjuangan komunis itu menepati ajaran Islam, tanpa merujuk kepada pencetus ideologi asalnya, Karl Marx yang menolak semua agama, tanpa disedari teorinya yang diubah suai dengan masyarakat Islam.

Jangan lupa akan sejarah Perang Dunia Kedua tatkala blok kapitalis dan komunis bergabung menentang Jepun dan Jerman, bukan dalam saf perjuangan Islam.

Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, komunis Tanah Melayu dikuasai oleh kaum Cina manakala komunis Indonesia dikuasai oleh bangsa Indonesia.

Komunis Malaya gagal kerana didominasi oleh kaum Cina. Adapun komunis Indonesia didominasi oleh bangsa Indonesia dan ada kalangan Islam yang bebal menyertai komunis menyebabkannya bertahan sehingga melakukan rampasan kuasa pada 1965 supaya Indonesia menjadi negara komunis, namun kesatuan umat Islam yang lebih kuat berjaya menggagalkannya.

Maka, tiada alasan yang sahih untuk menghargai perjuangan komunis Melayu yang menganut ideologi yang sesat dan salah, bahkan melupakan pula peranan kumpulan Islam yang lebih awal menentang penjajah walau dinafikan haknya selepas mencapai kemerdekaan.

Kewajipan sepatutnya adalah untuk menyatukan Melayu Islam bersama kembali ke pangkal jalan, seterusnya menegakkan semula Islam agar berdaulat sepenuhnya.

Semua negara Islam gagal menyelesaikan masalah selepas merdeka melalui ideologi ciptaan penjajah, sama ada liberal kapitalisme, komunisme atau sosialisme.

Kita telah menyaksikan kehancuran blok sosialis dan komunis pada abad yang lalu dan kini terserlah tanda-tanda merudumnya liberal kapitalisme kerana bertentangan dengan fitrah manusia dan tidak sempurna mengikut fitrahnya. Adapun kejatuhan umat Islam berlaku kerana meninggalkan ajaran Islam, bukan kerana kelemahan ajarannya.

Walaupun negara Islam mempunyai sumber manusia dan hasil bumi yang mencukupi, namun negara-negara ini terus berada dalam kumpulan negara yang sedang membangun sahaja tanpa dapat dibangunkan. Hal ini demikian kerana, mereka meninggalkan Islam dan beramal dengan ideologi asing.

Contoh yang buruk dan menarik apabila kerajaan boneka pro-komunis di Yaman Selatan sedia melakukan normalisasi dengan Israel bersama negara Teluk yang pro-Barat sehingga melakukan normalisasi dengan negara haram Israel ketika Gaza sedang dibelasah malah Yaman diserang oleh Amerika dan sekutunya. Maka, tiada alasan bagi menghargai perjuangan komunis Melayu yang kononnya menentang penjajah kerana kedua-dua pihak adalah alat penjajah yang digunakan menentang Islam.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 9 Rajab 1445 / 21 Januari 2023