Home Berita PAS Kelantan

Kuliah Dhuha, program keilmuan diminati masyarakat

301
SHARE

PASIR MAS, 1 Oktober: Rabiul Awal, bulan kelahiran Rasulullah SAW selalu meriah dengan pelbagai aktiviti kerohanian.
Program Kuliah Duha bersempena menyambut Maulid Rasul anjuran Yayasan Daril Ulum dengan kerjasama Muslimat Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Meranti sedang berlangsung di Masjid Al-Ridhuan, Maahad Tahfiz Daril Ulum, Meranti.

Isteri Exco Dakwah Negeri Kelantan, Datin Panglima Perang Datin Wan Norhanita Wan Yaacob hadir menadah mutiara hikmah yang disampaikan oleh da’ei selebriti Ustazah Asma’ Harun.

Beliau berterima kasih kepada Ustazah Asma’ yang sudi memanfaatkan masa penduduk kampung setempat dengan perkongsian ilmu keibubapaan.

“Kita berharap kupasan tajuk ‘Anak Cerminan Ibu bapa’ iaitu intisari buku terbaharu tulisan Ustazah Asma’ mampu melahirkan lebih ramai anak-anak solehah,” katanya.

Sementara itu, majoriti 500 hadirin terdiri daripada ibu bapa bersama anak-anak mereka bersyukur kerana sentiasa dapat menimba ilmu-ilmu daripada pendakwah terkenal yang disediakan oleh pemimpin yang amat mementingkan pendidikan kerohanian di samping pembangunan jasmani.

Zawiah Che Muhammad, 65, dari Kampung Che Dol menzahirkan kegembiraan apabila dapat bersama-sama pendakwah, isteri pemimpin masyarakat dan para hadirin yang suka mencari ilmu untuk bekalan akhirat.

“Saya bekerja sebagai petugas kebersihan jadi tak ada banyak masa untuk dengar ceramah Ustazah Asma’ melalui rakaman atau siaran langsung, jadi apabila tahu Ustazah Asma’ datang berceramah dekat dengan kampung sendiri, saya terus ambil peluang untuk hadir,” katanya.