Oleh AL-ANSARI
ALOR GAJAH, 7 Mac : “Walaupun baru-baru ini kita dikhabarkan dengan pendirian sahabat parti dalam kerajaan Perikatan Nasional, PAS sentiasa tegas dan konsisten dalam membawa agenda perpaduan ummah dengan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan perkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan tidak pernah berbolak balik terutama di peringkat pimpinan parti.
“PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi iaitu UMNO, BERSATU dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara.
“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar”.
Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin berkata demikian kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) selepas meluangkan masa hadir di Program Sumbangan Prihatin di Dun Gadek, di sini, semalam, yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof atau lebih dikenali sebagai Pakwan.
Dalam program anjuran Perikatan Nasional (PN) Alor Gajah itu, Pakwan yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, bersama dengan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek dan Ustaz Syahbudin telah mengedarkan baucar minyak motosikal percuma dan kit makanan asnaf di sekitar Pulau Sebang.
Rata-rata penerima ketika sesi wawancara terutamanya anak muda mengucapkan terima kasih atas pelaksanaan program ini dan menyokong supaya Perikatan Nasional terus dipertahankan.
Program turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Gajah, Shamsul Bahrin Saad dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Gadek, Mohd Afif Che Roselam.