Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Hanya 3 kes baharu

262
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 7 Mac : Hanya tiga kes baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Jumlah kes baharu hari ini adalah kekal rendah seperti akhir-akhir ini walau pun semalam Melaka dikejutkan dengan kemunculan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Haji Malek di Pekan Jasin melibatkan kakitangan sebuah pasar raya dan kontak rapat mereka.

Menurut laporan itu, daripada tiga kes baharu tersebut, dua kes adalah daripada kes tempatan, satu kes import dan tiada lagi melibatkan kes banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada tiga kes itu juga, dua kes dikesan di Melaka Tengah dan satu kes lagi dikesan di Alor Gajah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 18 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 166 kes pula masih dirawat di Hospital Melaka termasuk lima kes ICU manakala satu kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, dan Kluster Teknologi Lot Enam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Gombak dan Kluster Perindustrian Cyber Senai.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 22 mukim berada di zon hijau, sembilan mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 16 mukim di dalam zon hijau; 13 mukim di dalam zon kuning dan tiada mukim di dalam zon jingga dan merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 12 mukim adalah di dalam zon hijau dan sembilan lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga dan merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1683 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 746 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 201 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 313,460 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.