Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Penyata Razak diluluskan

202
SHARE

7 MAC1957 (KHAMIS)

PADA hari ini dalam tahun 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan, dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak.

Penyata itu adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan dapat menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang bukan Melayu yang diam di negara ini.

Rang Undang-undang ini diharap akan dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baharu dan bersatu.

Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulen di negara ini.

Dalam membentangkan Rang Undang-undang Pelajaran ini beberapa cadangan telah dikemukakan. Di antara cadangan-cadangan tersebut termasuklah:-

Membina lima buah Sekolah Teknik yang akan bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan; di Temerloh, Pahang; di Melaka; di Telok Air Tawar, Butterworth; di Rembau, Negeri Sembilan.

• Membina dua buah sekolah pertukangan di Selangor, sebuah di Teluk Datuk dan sebuah lagi di Tanjung Karang.

• Membina dua buah Institut Rendah Teknik (Junior Technical Institute), satu di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Sistem melatih guru-guru juga akan disusun semula di bawah Rang Undang-undang ini, bagi melahirkan guru-guru yang lebih berdedikasi.

Undang-undang Pelajaran 1957 yang diluluskan hari ini dalam tahun 1957 setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956.

Laporan Jawatankuasa ini telah diluluskan pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia