Home Berita PAS Melaka

Kompleks PAS Masjid Tanah impian Almarhum Ustaz Abdul Ghani

366
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 11 Apr : Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata Projek pembangunan Kompleks PAS Kawasan Masjid Tanah yang baharu adalah untuk meneruskan impian Almarhum Tuan Guru Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Menurut beliau, Almarhum Ustaz Abdul Ghani yang semasa akhir hayatnya merupakan YDP PAS Kawasan Masjid Tanah sangat mengimpikan untuk membina sebuah markaz yang besar dan selesa.

“Kita tidak dapat nafikan semasa Almarhum Ustaz Ghani menjadi YDP (kawasan ini) memang pembangunan markaz kawasan ini berada pada tahap paling rancak.

“Bangunan yang mula-mula dulu kecil sahaja berbanding yang ada sekarang ni. Struktur bangunan asal yang dibina dulu jika kita ingat lagi kecil sahaja.

“Tapi masa Almarhum Ustaz Ghani jadi YDP, Almarhum yang besarkan markaz ni. Dia yang bincang dengan Almarhum Tuan Haji Kassim hingga Almarhum Haji Kassim setuju infak seluruh tanah ni pada PAS,” ujar Ustaz Imran.

Almarhum Tuan Guru Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman

 

Tambah Ustaz Imran lagi, sejumlah RM300 ribu diperlukan untuk fasa pertama projek pembinaan Kompleks PAS Masjid Tanah baharu ini iaitu untuk membina tandas, kerja tapak dewan terbuka dan merenovasi bangunan sedia ada.

Menurut beliau lagi, bagi peringkat awal pihak PAS kawasan menggesa Ahli Jawatankuasa (AJK) untuk membantu menyumbang dana untuk projek ini yang menelan belanja keseluruhan hampir RM1 juta.

“Kita ada sasarannya. Setiap AJK PAS Kawasan, Dewan-dewan dan cawangan-cawangan kena sumbang seorang RM1000 sebelum kita mohon daripada orang ramai.

“Jika setiap AJK dapat menunaikan tanggungjawab mereka kita dah boleh mula dengan pembinaan tandas,” ujar beliau lagi.

Tambah Ustaz Imran, semua AJK PAS di dalam kawasan ini perlu bekerja keras untuk memastikan projek ini berjaya sebagai menghargai pengorbanan pihak yang telah menginfakkan tanah untuk markaz ini.

“Terima kasih kepada keluarga Tuan Haji Ghazali, Dr Md Khalid Kassim dan Almarhum Haji Kassim sendiri yang telah menginfakkan tanah ini untuk PAS. Nama pun kita baru tukar.

“Jadi kita kena buktikan kesungguhan kita untuk memanfaatkan infak yang mereka telah lakukan dulu.

“Dan untuk permulaan kita perlu sekurang-kurangnya RM60 ribu untuk bina tandas,” ujar beliau lagi.

Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka itu berkata demikian ketika berucap menyampaikan taujihat sempena Ramadan dan majlis penyerahan bantuan beras untuk asnaf sempena bulan Sya’aban.

Program yang berlangsung di Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah, Jalan Hujan Panas, di sini, malam tadi itu dihadiri oleh wakil-wakil cawangan PAS sekitar Kawasan Masjid Tanah.

Sebanyak 105 kampit beras yang disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS telah diedarkan kepada cawangan-cawangan untuk diedarkan kepada fakir miskin dan asnaf.

Mereka yang ingin menginfak untuk projek pembinaan kompleks Markaz PAS Kawasan Masjid Tanah ini boleh menyumbang dengan melihat maklumat yang disertakan di bawah ini.

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

.         SAMBAL IBU SARI        .