Home Berita PAS Kelantan

Komitmen pelaburan sebanyak RM6.3 bilion di Kelantan

184
SHARE

KOTA BHARU, 27 Jul: Model ekonomi yang berteraskan konsep langit terbuka beridentitikan Islam perlu diterokai dan diambil peluang sepenuhnya yang mana Kerajaan Kelantan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menjadikan Kelantan sebagai Hub Pelaburan utama para pelabur.

Demikian menurut Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pelaburan Kelantan 2022 di sebuah hotel, semalam.

Katanya, beliau yakin Dasar Pelaburan Negeri Kelantan merupakan sebuah dokumen rujukan yang memberi gambaran berhubung dengan ekosistem pelaburan di Negeri Kelantan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam negeri.

“Negeri Kelantan ketika ini sedang rancak dalam pelaksanaan projek-projek utama infrastruktur dan utiliti termasuk rangkaian lebuhraya, perkhidmatan jalur lebar dan perkhidmatan bekalan air yang akan melonjakkan potensi Kelantan sebagai destinasi utama para pelabur.

Pertambahan pelaburan sebanyak RM910 juta daripada ROHM-Wako Electronics yang merupakan syarikat pengeluar elektronik terkemuka Jepun mengambarkan keyakinan pelabur untuk terus komited mengembangkan perniagaan mereka seterusnya meningkat potensi Kelantan sebagai hub pelaburan,” katanya.

Tambahnya, dibawah Pelan Induk ECER 2.0 (2018-2025), sasaran jumlah pelaburan bagi negeri Kelantan ialah sebanyak RM9.5 bilion. Sehingga Julai 2022, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM6.3 bilion ke negeri Kelantan serta mewujudkan sebanyak 1,724 peluang pekerjaan dan 430 peluang perniagaan bagi rakyat Kelantan.

“ECER juga telah memperkenalkan pakej insentif cukai yang mana para pelabur yang ingin melabur di Kelantan boleh memilih sama ada ingin memohon Pakej Insentif Khas Kelantan atau Pakej Insentif ECER yang sedia ada.

Kerajaan Negeri yakin projek-projek Taman Perindustrian di Kelantan seperti Taman Halal Pasir Mas, Taman Perindustrian Tok Bali dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali bakal menjadi destinasi pelaburan baharu bagi pelabur tempatan dan asing dalam sektor pembuatan am dan produk pertanian hiliran,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan beberapa Kawasan Industri Baharu seperti Kawasan Industri Perabut di Gua Musang seluas 300 ekar, Projek IBS Sungai Bagan, Machang untuk diterokai oleh pelabur-pelabur baharu dalam pelbagai sektor.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Hanifa Ahmad, Setiausaha Kerajaan, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan.

Pelabur dan peserta yang mengambil bahagian sempena majlis ini selain dari dalam dan luar negeri juga turut membabitkan pelabur dari Singapura dan Thailand.