Home Artikel PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Ramalan Ilham Centre Tersasar – Mengingatkan Kita Kepada Invoke Dan Rafizi

408
SHARE

Semasa PRK Kimanis sedang berjalan Ilham Centre yang ditubuhkan pada Jun 2006 ini menjadi perhatian kerana meramalkan Warisan bakal memenangi PRK itu. Selepas selesai PRK Kimanis Ilham Centre sekali lagi menjadi perhatian kerana ramalannya yang tersasar jauh. Antara yang mengulas penyasaran ramalan Ilham Centre ini ialah pengulas politik terkenal Dr Kamarul Yusof dari UUM.

Terdahulu semasa PRK Kimanis sedang berlangsung Ilham Centre meramalkan Warisan bakal memenangi PRK ini atas beberapa faktor iaitu kelebihan Warisan sebagai parti pemerintah; ketokohan Shafie Abdal; Warisan adalah sekutu kerajaan pusat; politik Sabah berpaksikan personaliti dan big man; Karim lebih mesra rakyat berbanding Mohamad; pengundi BN bersedia beralih kepada Warisan dengan peralihan cukup signifikan.

Dan kita semua telah mengetahui keputusan PRK Kimanis, BN menang dengan majoriti jauh lebih besar. Pada PRU14 BN mendapat 11942 undi sementara Warisan-PH mendapat 11786. Pada PRK ini BN mendapat 12706, sekali lg mengalahkan Warisan-PH 10677 majoriti 2029.

Bercakap tentang ramalan-ramalan badan penyelidikan pro PH yang tersasar ini kita jangan lupa selain Ilham Centre, Invoke juga pernah terlibat dalam ramalan paling tersasar dalam sejarah politik yang meramalkan bahawa PAS akan hilang kuasa di Kelantan.

Invoke, sebuah badan penyelidik yang dimiliki Rafizi, dalam kajian yang dibuat itu telah menelefon pengundi berdaftar di setiap negeri secara rawak. Kajiselidik dijalankan melalui ‘Interactive Voice Recording’ (IVR) yang membolehkan pengundi menekan pilihan parti pengundi ditanya parti mana yang mereka akan undi.

Seramai 11,991 orang pengundi menyertai kajiselidik yang dijalankan Invoke selama dua minggu meliputi semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak. Bagi Negeri Terengganu seramai 1,136 pengundi telah disoalselidik sementara Kelantan pula ialah seramai 1,489 pengundi.

Tanpa belas kasihan PAS diramalkan akan mendapat kosong kerusi samada parlimen atau Dun di seluruh Malaysia! Satu pun tidak boleh menang! PAS diramal hilang Kelantan untuk kali pertamanya selepas memerintah selama 28 tahun!

Rumusan dari dapatan kajian Invoke ini pada masa itu sangat meyakinkan kerana ia turut disokong oleh kajian yang dibuat sebelum itu oleh Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusof, seorang penganalisa politik yang sangat terkenal. Jangan main-main!

Prof Dr Agus yang merupakan pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, adalah antara penganalisis terawal yang meramalkan bahawa PAS bakal hilang banyak kerusi dan tumbang di Kelantan. Ini susulan dari tindakan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sebelum itu.

Prof Dr Agus dalam satu hantaran di facebook beliau pada 16 Mac 2017 menulis bahawa beliau telah mengikuti tiga ceramah dalam tahun 2017 iaitu setahun lebih sebelum PRU14 berlaku. Yang pertama ialah ceramah Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Alor Limbat, Terengganu pada 3 Februari 2017. Yang kedua ucapan Datuk Seri Najib Razak di Bachok, Kelantan pada 13 Mac 2017. Dan yang ketiga ceramah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Cherang, Kelantan pada 15 Mac 2017.

Menurut beliau, setelah meneliti ceramah tiga pemimpin ini, beliau menimbulkan persoalan ‘mungkinkah yang muncul dalam PRU14 nanti ialah Tsunami Mahathir?’. Prof Dr Agus menegaskan pada masa itu bahawa pertanyaan ini wajar diberi perhatian.

Pada 17 April 2018, Prof Dr Agus sekali lagi meramalkan bahawa PRU14 sebagai pertembungan antara BN dan PH. Pada masa itu PAS dianggap sebagai kerdil kerana bersendirian. Ini ditambah dengan fitnah bahawa PAS menerima RM90 juta wang 1MDB dan cubaan mengaitkan segala keburukan kerajaan BN pada masa itu dengan PAS telah menjadikan imej PAS tercalar teruk ketika itu.

Mungkin kerana itu jugalah Invoke telah meramalkan bahawa PAS akan mendapat kosong kerusi di semua kawasan samada Dun atau parlimen. Bermakna dalam PRU14 itu, jika bukan PH, BNlah yang akan menang, jika bukan BN maka PHlah yang akan menang. PAS boleh main jauh-jauh!

Namun, seperti yang kita semua tahu bahawa keputusan PRU14 menunjukkan bahawa baik ramalan Invoke yang dimiliki Rafizi atau pun kajian dari Prof Dr Agus kedua-duanya ‘ke laut’ dan tersasar jauh.

Bukan sahaja PAS tetap mendapat kerusi dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan, malah berjaya menawan Terengganu. Bukan sahaja berjaya menawan Terengganu malah mendapat majoriti dua pertiga dalam kedua-dua DUN Kelantan dan Terengganu. Bukan sahaja mendapat majoriti dua pertiga di Kelantan dan Terengganu malah kurang empat kerusi sahaja lagi untuk membentuk kerajaan di Kedah. Dan PAS memiliki sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Yang mendapat kosong kerusi di Kelantan ialah PH. Bukan sahaja di Kelantan malah di Terengganu juga. Ia sangat memalukan bagi sebuah parti yang menguasai kerajaan pusat namun tiada kerusi langsung di dua buah negeri ini. BN pun tidak pernah menerima nasib seburuk ini semasa mereka menjadi kerajaan persekutuan dulu.

Sesuatu kajian mungkin boleh tersasar. Namun bila kajian itu tersasar jauh ia memberi makna ada yang tak kena dengan proses kajian tersebut. Ini bukan tersasar, tapi terbalik. Atau mungkinkah semua responden yang Rafizi temuramah itu semuanya ahli PAN yang ‘seciput’ ada di Kelantan dan Terengganu?

Kerana itu kita boleh simpulkan bahawa Ilham Centre dan Invoke ini hanyalah alat propaganda PH yang hanya berfungsi untuk perang saraf agar rakyat mengundi PH dan sekutunya. Bukan bersandarkan prinsip akademik yang kredibel.

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka