Home Artikel PAS Sarawak

PRK P.176 Bukti Parti Lokal Juga Boleh Ditolak

536
SHARE

KEMENANGAN BN di PRK P.176 Kimanis membuktikan parti lokal juga boleh ditolak sekiranya mereka tidak berupaya mengurus permasalahan rakyat dan gabungan di peringkat nasional bermasalah. Perkara ini boleh berlaku dalam PRN akan datang. Sebelum ini sering kali sentimen parti Malaya atau orang luar menjadi mainan ketika pilihan raya sungguhpun ia adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana parti.

Pemuda PAS Sarawak terus komited bekerja di DUN target bagi memberi keyakinan kepada rakyat Sarawak. Pakatan Harapan (PH) sudah terbukti ditolak oleh rakyat dan mustahil untuk mereka mengembalikan keyakinan tersebut kerana segala harapan rakyat telahpun dimusnah oleh mereka satu persatu. Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula diharap tidak terlalu yakin sehingga mereka lupa lambang mereka kurang dikenali dan agak sukar untuk mendidik pengundi khususnya di pedalaman Sarawak.

Pengundi Sarawak dijangka bakal menerima pilihan lebih dari 3 penjuru di setiap DUN pada PRN akan datang. Dengan pengalaman BN memerintah negara dan kekuatan PAS yang konsisten dengan prinsip akan menatijahkan gabungan parti pemerintah yang baru kelak. Oleh yang demikian, tidak salah sekiranya PAS Sarawak memikirkan untuk mengajak rakan mereka iaitu BN untuk bertanding di Sarawak kelak. Sudah tentu PAS tidak boleh memberi kemenangan kepada PH sekiranya lambang BN masuk dalam PRN nanti.

Rakyat Sarawak beruntung kerana kita boleh lihat gabungan manakah yang boleh dipercayai antara BN dan PH atau GPS yang bersendirian. Kekuatan Muafakat Nasional yang mana PAS sebagai tunjangnya akan pasti merubah landskap politik Sarawak sekali gus membuka peluang untuk parti-parti lokal di Sarawak bersama. Maka, GPS sepatutnya tidak terlalu merasa megah bersendirian sehingga menolak sebarang kerjasama. Ini penting kerana GPS atau mana-mana parti politik memerlukan sokongan rakyat. Rakyat memberi signal positif kepada Muafakat Nasional melalui siri-siri kemenangan didalam Pilihan Raya Kecil sebelum ini.

Pemuda PAS Sarawak juga berharap perkara dasar seperti ini termasuk yang disebut oleh Ketua Penerangan Negeri semalam untuk segera diputuskan paling tidak untuk pengundi PAS di Sarawak memahami hala tuju pengundian. Kita belajar dari persediaan yang kurang dan keputusan yang selalunya muncul saat akhir. Oleh itu, kemunculan PAS pada PRN akan datang mestilah dilihat signifikan sebagai pilihan terutama di DUN target.

SYAMSUL BAHRIE
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak