Home Artikel PAS Melaka

Komen Editor Melaka : Kerajaan Baru Perak Adalah Kerajaan Mandat Rakyat

532
SHARE

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Perak telah sempurna dengan semua exco beserta portfolio mereka telah terisi. Dua dari tiga adun PAS di Perak diamanahkan untuk mengisi dua jawatan exco. Terima kasih diucapkan kepada MB Perak YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Haji Azumu.

Sebenarnya kerajaan PN yang dibentuk di Perak sekarang ini adalah benar-benar kerajaan yang dibentuk dengan mandat rakyat jika kita mahu mengukur dari logik dan definisi PAN & PH yang mereka salak-salakkan selama ini. Ini adalah kerana dengan gabungan asal 27 kerusi asal BN dan 3 kerusi PAS telah pun cukup secara sah untuk membentuk kerajaan di Perak berdasarkan mandat rakyat dalam PRU14. Ini ditambah lagi dengan dua lagi kerusi Bersatu menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN Perak.

Sebaik selesai PRU14, di dalam DUN Perak asalnya PH memiliki 29 kerusi, BN 27 kerusi, sementara PAS 3 kerusi. Tidak ada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Namun PH berjaya membentuk kerajaan dengan sokongan dua orang Adun BN yang mengkhianati mandat rakyat yang mengundi BN. Selepas pengkhianatan itu kedudukan kerusi di dalam Dun Perak ialah PH 30 kerusi, BN 25 kerusi, PAS 3 kerusi dan bebas 1 kerusi. Bebas ini juga menyokong PH.

PAN & PH juga buat-buat lupa yang kerajaan Sabah yang mereka bentuk juga hasil dari pengkhianatan mandat rakyat. Sebaik keputusan PRU14 untuk Negeri Sabah diumumkan pada masa itu kedudukan kerusi di DUN Sabah ialah BN 29 kerusi, Warisan-PH 29 kerusi, sementara STAR 2 kerusi. Mulanya BN telah berjaya membentuk kerajaan dengan membuat pakatan dengan STAR yang dipimpin oleh Dr Jeffrey Kitingan dengan jumlah 31 kerusi pada 10 Mei 2018.

Pada 11 Mei 2018, enam Adun BN pula mengkhianati mandat rakyat dengan mengisytihar menyertai Warisan-PH. Mereka adalah dua orang Adun UPKO dan empat orang Adun UMNO. Dengan jumlah terbaru ini maka Warisan-PH membentuk kerajaan dan Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan TYT Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 12 Mei 2018.

Begitu juga Kedah. Sebaik sahaja keputusan PRU14 diumumkan kedudukan kerusi di dalam DUN Kedah ialah PH 18 kerusi, PAS 15 kerusi sementara BN 3 kerusi. Dengan itu tiada mana-mana parti politik pun yang dapat membentuk kerajaan yang memerlukan 19 kerusi.

Akhirnya kerajaan PH Kedah dibentuk dengan seorang Adun BN mengkhianati mandat rakyat di kawasannya yang memberi undi kepada BN dalam PRU itu. Kedudukan selepas pengkhianatan itu ialah PH 19 kerusi, PAS 15 kerusi sementara BN 2 kerusi.

Pembentukan kerajaan PH di Sabah, Kedah dan Perak oleh PH sebelum ini adalah hasil dari pengkhianatan mandat rakyat. Wakil-wakil rakyat yang dahulunya BN dan diundi oleh rakyat yang mahu mengundi BN namun mereka beralih menyokong PH untuk membentuk kerajaan.

Dan sekarang alhamdulillah Perak telah kembali menjadi kerajaan dengan mandat rakyat seperti yang PH perjuangkan. Takkan PH nak runtuhkan semula kerajaan dengan mandat rakyat ini?

IBNU JANIE
Editor Berita PAS Melaka
Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Negeri Melaka