Home Artikel PAS Kelantan

K’jaan Perlis digesa tangani isu pokok balak

59 views
SHARE

KANGAR: Penangguhan tindakan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelia urus puluhan ribu pokok jati di sepanjang jalan utama negeri ini menimbulkan persoalan disebalik kebimbangan tragedi menimpa.

Pokok-pokok yang berpotensi tumbang telah menjadi ancaman menakutkan kepada penduduk terutama pengguna jalan raya, setelah pula kejadian ribut kuat melanda negeri ini Isnin lalu.

Sehubungan itu, Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia menggesa penyelesaian segera dilaksanakan demi meredakan trauma pengguna atas kejadian yang direkodkan.

Menurut Pengerusinya, Nazman Che Iberahim, sebanyak 203 pokok tumbang, 139 rumah terjejas dan 6 kematian dicatatkan, selain 39 sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut berkelajuan 68.7km/j itu.

Sedangkan menurutnya, pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan telahpun menebang dan memangkas sekitar 1,100 pokok jati, sentang dan mahogani pada Mac lalu, tetapi lanjutan tindakan tidak berterusan.

Bahkan katanya, pihak kerajaan telah beberapa kali menyatakan kesediaan menebang pokok yang merbahaya, tetapi ia masih tidak dilaksanakan hingga menimbulkan igauan pengguna terutama ketika hujan lebat dan ribut.

Perkara itu diutarakan beliau ketika membuat tinjauan dan melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas akibat ribut tersebut bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perlis, semalam.

“Rakyat marah dan keresahan, terutama apabila ia turut melibatkan kematian. Rakyat tidak mahu peduli soal tender penebangan itu murah atau mahal, mahupun melibatkan syarikat mana.

“Yang mereka nantikan ialah penyelesaian terhadap kemungkinan-kemungkinan boleh menimpa. Kami juga setuju langkah terbaik adalah pokok-pokok yang bahaya ditebang atau dipangkas.

“Kerajaan Perlis juga harus membuat kajian rapi sebelum melaksanakan penanaman spesis balak yang mungkin tidak sesuai dengan komposisi tanah serta akarnya hingga menyebabkan ia mudah tumbang.

“Tahniah kepada JAM Perlis yang melaksanakan pelbagai kerja segera membantu masyarakat yang menjadi mangsa dan pengguna jalan raya terkandas akibat kejadian ini,” ujarnya.

Difahamkan, anggota JAM tersebut baru pulang bertugas dari Muktamar PAS di Terengganu dan singgah ke Usrah Pemuda PAS Perlis, sebelum terus menyahut panggilan kecemasan ribut tersebut.

Biarpun keletihan dan belum sempat pulang ke rumah, mereka ternyata komited memberikan khidmat bakti demi kemaslahatan penduduk selaras motto “Beramal Kerana Allah”. – HARAKAHDAILY 22/9/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/8188-k-jaan-perlis-digesa-tangani-isu-pokok-balak