Home Artikel PAS Melaka

KHIDMAT Malaysia Melaka Bersama Beberapa NGO Serah PPE Pada JKNM, Hospital dan Klinik Kesihatan

701
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah situasi yang sedang dihadapi oleh para doktor, jururawat, para petugas yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung serta seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekarang. Semua pesakit dibantu tanpa mengira lelah dan penat, berjuang dari pagi hingga ke malam. Misi utama mereka adalah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit di mana komitmen mereka pasti tidak terbalas.

Menyedari akan hakikat ini, Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Cawangan Melaka bersama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Melaka menyumbang 800 set alat pelindung diri (PPE), termasuk pelindung muka (face shield), serta barang keperluan seperti ‘hand sanitizer’, Clorox, tudung lapisan pertama perlindungan pakai buang dan telekung kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Hospital Melaka, Alor Gajah, Pejabat Kesihatan Daerah Jasin, serta beberapa buah Klinik Kesihatan di sekitar negeri Melaka, petang semalam. Ia bagi menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang memerangi COVID-19.

Penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi KHIDMAT Malaysia Melaka, Muhamat Puhat Bedol bersama wakil PAPISMA iaitu Penasihat PAPISMA Melaka, Dr. Rina Salwani, Pengerusi PAPISMA Melaka, Dr. Amir Al-Amin Mustaff dan Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Melaka, Anida Haron sebagai solidariti bersama kerajaan dalam usaha mengekang dan menghentikan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut Puhat, Khidmat Malaysia (Melaka) bersama sukarelawan pelbagai NGO seperti Jabatan Amal Malaysia, Nisa’, Briged Muslimat, Ameerah, Jabatan MusMedik (Muslimat Medical Team) dan PAPISMA Melaka telah memulakan Projek Bantuan PPE COVID-19 bermula pada hari Jumaat lalu dengan penglibatan lebih 30 orang sukarelawan yang majoritinya tukang jahit persendirian dan ahli PAPISMA.

‘’Demi menjaga keselamatan dan mematuhi arahan PKP, semua gerak kerja ini dilakukan secara individu di rumah masing-masing.’’ Ujarnya.

Sementara itu Pengerusi PAPISMA Melaka, Dr Amir Al-Amin memaklumkan, pihaknya bersama Khidmat Malaysia Melaka akan meneruskan lagi misi bantuan tersebut dengan projek Fasa 2 iaitu menjahit PPE (tudung), serta bantuan lain seperti sumbangan barang keperluan kepada asnaf.

“Besar pengorbanan warga KKM, kami sebagai NGO Kesihatan sangat memahami dan sama-sama untuk kita bantu apa jua keperluan mereka,” ujar beliau.

Penasihat PAPISMA Melaka, Dr Rina Salwani yang turut sama dalam program serahan hari ini berkata, mereka mendapat maklumat mengenai ukuran, jenis kain, pola jahitan serta maklumat pembekal melalui PAPISMA Kelantan yang turut memberi sumbangan PPE kepada hospital dan klinik di sekitar negeri itu.

Kata Dr Rina lagi, kos untuk menghasilkan satu pelindung muka buatan sendiri pula hanyalah sekitar RM1, jauh lebih murah berbanding membeli kerana harganya boleh mencecah RM6 sehingga RM15.

Beliau juga menekankan bahawa antara matlamat penting projek ini adalah memupuk rasa kasih sayang, saling bantu membantu serta sikap prihatin dan kebertanggungjawaban dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya ketika mengharungi satu tempoh yang mencabar seperti ini.

“Sikap positif yang terbentuk melalui sumbangan kemasyarakatan sebegini adalah sangat penting dalam memberi motivasi kepada para petugas barisan hadapan untuk terus berjuang serta mencapai kemenangan mengatasi wabak COVID-19, in sha Allah”, ujarnya, penuh semangat.

Untuk rekod sumbangan akan diteruskan dengan penyerahan set PPE kepada wakil HPSF Muar, Ahad ini.