Home Berita PAS Melaka

Ketua Menteri Umum Berita Baik Untuk Penyewa Melaka Sentral

1235
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MELAKA : Ketua Menteri Melaka Datuk Haji Sulaiman Md Ali mengumumkan berita baik pemberian diskaun sewaan kepada penyewa di Kompleks Melaka Sentral. Beliau membuat pengumuman ini dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman facebook beliau semalam.

Dalam kenyataan tersebut Ketua Menteri Melaka itu berkata, Kerajaan Negeri Melaka bersetuju untuk memberikan diskaun sewaan asas lot kedai, gondola, booth dan tapak promosi selama tiga bulan bermula April hingga Jun tahun ini. Sepanjang tempoh ini penyewa hanya perlu membayar caj perkhidmatan bulanan sahaja.

Jelas kenyataan itu lagi, pada bulan April penyewa diberikan pengecualian sewa sebanyak 100 peratus, bulan Mei sebanyak 50 peratus pengecualian sementara pada bulan Jun pula penyewa diberi 30 peratus pengecualian sewa.

“Jumlah keseluruhan pengurangan sewa yang ditanggung oleh pihak Melaka Sentral Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka ialah sebanyak RM911,986.45 untuk tiga bulan itu.

“Pemberian diskaun ini dibuat setelah Pihak Pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd mengambil kira kehilangan pendapatan yang dihadapi oleh peniaga terlibat berikutan arahan penutupan perniagaan akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kerajaan Negeri Melaka berharap pemberian diskaun ini akan dapat membantu mengurangkan bebanan peniaga yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.” kata beliau di dalam kenyataan media tersebut.

Untuk rekod, Melaka Sentral Sdn Bhd menguruskan dua bangunan utama iaitu Terminal Melaka Sentral yang menempatkan 218 lot kedai, gondola, booth dan tapak promosi, manakala Medan Selera pula menempatkan 70 lot kedai dengan jumlah keseluruhan 288 unit.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)