Home Artikel PAS Pusat

Kesultanan Melaka: Merungkai Beberapa Kekeliruan Dengan Tarikh Baru Penubuhan

278 views
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 25

KESULTANAN MELAKA: MERUNGKAI BEBERAPA KEKELIRUAN DENGAN TARIKH BARU PENUBUHAN

SETELAH meneliti sejarah dan perkembangan kerajaan Melaka (1262-1511M), beberapa kekeliruan fakta sejarah telah terjawab, yang sebelum ini sangat sukar untuk disimpulkan. Rata-rata sarjana yang menerima tahun 1400/1401M sebagai tarikh penubuhan Melaka adalah berdasarkan catatan Portugis yang dicatat oleh Tome Pires (m. 1540M) dalam Suma Orientalnya. Sedangkan Tome Pires bukanlah ahli sejarah atau pengkaji yang handal, melain seorang pengedar arak dan ubat-ubatan yang mencatat berdasarkan maklumat yang didengar, bukannya melalui kajian yang berwibawa. Disebabkan penerimaan tarikh ini, hampir semua maklumat sejarah Melaka menjadi bertentangan fakta dengan kronik-kronik dan hikayat Melayu, termasuk catatan Arab, India dan China. Tahun 1400M juga telah memendekkan usia Melaka dalam memainkan peranan besar untuk menyebarkan Islam di Nusantara, seolah-olah gerakan dakwah pada abad ke-13 dan 14M hanya dipelopori oleh Samudera-Pasai semata-mata.

Tahun 1262M ternyata lebih tepat dan signifikan dengan latar perkembangan sejarah Alam Melayu yang sebenar. Banyak peristiwa yang dicatatkan oleh Sejarah Melayu tidak selari jarak masanya dengan Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Merong Mahawangsa, bahkan prasasti-prasasti juga. Apabila dapat disahkan bahawa tahun 660H (1262M) yang dicatat dalam Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles) sebagai tahun penubuhan Melaka, maka sebahagian besar kekeliruan yang timbul dalam meneliti sejarah Nusantara umumnya, dan Tanah Melayu khususnya, dapat dirungkai dan dijawab. Pengesahan tarikh baru penubuhan Melaka ini akan mengundurkan lagi sejarah Malaysia moden 150 tahun lebih awal, kerana sebelum ini sejarah Malaysia moden hanya bermula dengan penubuhan Melaka pada 1400M. Ia juga membuka ruang penyelidikan yang lebih mendalam terhadap data-data kerajaan yang wujud di sekitar zaman Melaka seperti Malaiyur, Dharmasraya, Sampugita, Ligor dan Jawaka, kalau pun kita telah mengesahkan bahawa “Zabaj” dan “Sribuza” adalah Sriwijaya.

Perkara-perkara Yang Terungkai

Sekurang-kurangnya 10 perkara yang menjadi kekeliruan sebelum ini dapat diselesaikan dengan tarikh baru penubuhan Melaka. Antaranya:

I. Perkahwinan Parameswara dengan Puteri Perlak
Kerajaan Perlak yang runtuh pada 1292M, diriwayat telah mengahwinkan puteri mereka dengan Raja Melaka. Ia dikatakan berlaku pada zaman Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mohammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), di mana puteri baginda, Puteri Ratna dikahwinkan dengan Parameswara, manakala Puteri Ganggang Sari dikahwinkan dengan Malik as-Saleh (1267-1297M), Sultan Samudera-Pasai. Kemungkinan perkahwinan ini berlaku antara 1262M hingga 1267M, iaitu sebelum Sultan Perlak itu wafat.

II. Peng-Islaman Melaka
Dengan validnya kisah perkahwinan Parameswara dengan Puteri Ratna, maka ia telah menolak tarikh peng-Islaman Melaka yang dikatakan berlaku selepas 14 tahun berdirinya kerajaan Melaka, iaitu 1414M. Perkahwinan ini membuktikan peng-Islaman berlaku sebelum 1267M.

III. Peranan Cheng Ho Dalam Peng-Islaman Melaka
Laksamana Cheng Ho yang melawat Samudera-Pasai dan Melaka pada 1405M, 1408M dan 1412M didakwa oleh sesetengah pengkaji sebagai orang yang meng-Islamkan Melaka. Teori ini telah tertolak dengan tarikh baru ini kerana ketika beliau tiba di Melaka, Islam sudah menjadi agama rasmi Melaka.

IV. Peng-Islaman Kelantan, Terengganu dan Pattani
Bukti-bukti artifak telah menunjukkan Islam telah wujud secara berkerajaan pada abad ke-12 dan 13M di Kelantan (1181M) dan Terengganu (1303M). Ia terlalu jauh jika dibandingkan dengan tarikh berdirinya Melaka pada 1400M. Jika dikombinasikan antara Perlak, Samudera-Pasai dan Melaka, maka bukti kewujudan kerajaan Islam di Kelantan dan Terengganu menjadi telah jelas. Begitu juga halnya di Pattani, di mana Sheikh Safiyuddin al-Abbasi dan Sheikh Said Barsisa dikatakan meng-Islamkan Raja Phya Tu Nakpa pada 1457M, sedangkan Wan Mohd Saghir mendakwa, Islam sudah berkembang di Pattani pada abad ke-14M dengan kehadiran Sheikh Gombak Abdul Mubin dan Sheikh Safiyuddin sebelum 1400M. Antara ulamak terawal bergiat di Pattani ialah Sheikh Muhammad Ariffin Shah, iaitu datuk kepada Sheikh Gombak Abdul Mubin.

V. Guru Hang Tuah
Salah seorang yang berkeluarga rapat (dikatakan adik beradik) dengan Sheikh Muhammad Ariffin Shah ialah Syed Thanauddin (atau Sheikh Muhammad Saman atau Sang Adiputra). Beliau tiba di Pasai pada 1345M, kemudian ke Kelantan, sebelum ke Melaka dan berakhir di Gunung Ledang. Jika Hang Tuah yang hidup pada zaman Sultan Mansor Shah (1337-1446M), maka tarikh ini lebih tepat untuk beliau berguru dengan Sang Adiputra di Gunung Ledang.

VI. Serangan Majapahit ke Atas Sumatera, Singapura dan Samudera-Pasai
Serangan Majapahit ke atas kerajaan-kerajaan di seluruh Nusantara berlaku selepas Sumpah Palapa oleh Patih Gajah Mada (1290-1364M). Serangan Majapahit berlaku antara 1336-1357M di mana Pasai, Jambi, Palembang, Langkasuka, Kelantan, Kedah, Selangor, Temasik, Tanjung Pura, Sambas, Banjarmasin, Pasir dan Kutai telah ditakluki. Dalam sejarah Samudera-Pasai, kerajaan itu diserang oleh Majapahit sekitar 131345-1350M, tetapi Melaka tidak diserang, mungkin kerana ia belum terkenal dan berada di bawah Sultan Mohammad Shah (1248-1341M) dan Sultan Abu Syahid (1341-1343M). Melaka bangkit sebagai kuasa besar bermula pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M).

VII. Kunjungan Hang Tuah ke Majapahit
Hikayat Hang Tuah mencatatkan bahawa Sultan Melaka bersama Hang Tuah lima bersaudara telah mengunjungi Majapahit di atas jemputan Patih Gajah Mada (1290-1364M). Dalam lawatan ini, Hang Tuah mendapat Keris Taming Sari selepas berjaya menewaskan pahlawan Jawa, Taming Sari. Peristiwa ini pasti berlaku sebelum kematian Patih Gajah Mada pada 1364M, iaitu zaman Sultan Muzaffar Shah.

VII. Makhdum Syed Abdul Aziz dan Kemasukan Islam di Mindanao
Makhdum Syed Abdul Aziz disebutkan sebagai ulamak yang meng-Islamkan Melaka dan berkhidmat di sana sehingga zaman Sultan Mohammad Shah (1284-1341M). Pada zaman itu, beliau berhijrah untuk mengembangkan Islam di Mindanao. Dalam sejarah Mindanao, Islam terawal dikesan tiba pada awal abad ke-14M, berdasarkan batu nisan Tuan Maqbalu (m. 1310M). Inskripsi batu nisan menunjukkan bahawa kehadiran Makhdum Syed Abdul Aziz dari Melaka ada pada awal abad ke-14M, bukannya selepas 1414M.

VIII. Kegiatan Wali Songo dan Hubungan antara Pasai-Kelantan-Champa-Melaka-Jawa
Salah satu ekspedisi dakwah terbesar di Nusantara adalah dibuat oleh keluarga Syed Hussein Jamadil Kubra, pendakwah Arab dari India yang berada di Pasai pada saat kunjungan Ibnu Batutah (1335M). Selain bergerak ke Kelantan, Pattani dan Champa, sebahagian pendakwah ini turut berada di Melaka iaitu Syed Thanauddin. Pada 1404M, selepas Samudera-Pasai dimalapkan oleh serangan Majapahit, dengan pengaruh Melaka yang dapat menundukkan pahlawan Patih Gajah Mada, gerakan dakwah dilancarkan ke Jawa. Pada peringkat awal Maulana Malik Ibrahim bergerak dari Pasai ke Champa, kemudian ke Jawa pada 1404M. Di sinilah tertubuhnya Majlis Dakwah Wali Songo. Tiga tokoh Wali Songo yang dikaitkan dengan Melaka ialah Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga dan Sunan Fatahillah. Jika Melaka wujud dan di-Islamkan selepas 1401M, mustahil gerakan dakwah ini boleh bermula 1404M, iaitu sesudah Kelantan, Pattani dan Champa di-Islamkan.

IX. Pemerintahan Sultan Mansur Shah
Sejarah Melayu mencatatkan bahawa Sultan Mansur Shah (1373-1446M) telah memerintah Melaka selama 75 tahun. Sedangkan keseluruhan usia kerajaan Melaka hanya 110 tahun dengan diperintah oleh sembilan orang sultan. Maka lebih tepat jika kerajaan Melaka bermula 1262M.

X. Serangan Siam ke Atas Samudera-Pasai dan Melaka
Kebangkitan Ayutthaya menggantikan Sukhotai pada 1350M telah membawa kepada serangan dan penjajahan Siam ke atas Tanah Melayu dan Samudera-Pasai. Tidak dapat dipastikan sama ada Ayutthaya (1350-1767M) atau Sukhotai (1238-1583M) yang menyerang negeri-negeri Melayu. Tetapi sejak kejatuhan Ligor (Nakhon Si Thammarat) ke tangan Sukhotai pada 1283M, melalui Ligorlah negeri-negeri Melayu diserang oleh Siam. Ligor dikatakan jatuh ke tangan Ayutthaya pada 1468M. Berdasarkan rekod serangan ke atas Samudera-Pasai, ia berlaku pada 1351M, iaitu zaman Sultan Zainal Abidin I (1349-1406M). Sedangkan serangan Siam ke atas Melaka berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M). Adalah lebih tepat jika serangan yang dikatakan berlaku pada 1455M dan 1456M ini, sebenarnya berlaku pada 1355M dan 1356M, iaitu selepas serangan ke atas Samudera-Pasai. Ini dikuatkan lagi dengan rekod Samudera-Pasai dan Melaka, bahawa kedua-dua kerajaan dilawati oleh Laksamana Cheng Ho pada 1405M, 1408M dan 1412M yang mewujudkan hubungan Melaka dengan Dinasti Ming. Melaka dikatakan meminta perlindungan China daripada ancaman Siam. Maka lebih wajar, serangan Siam itu berlaku pada abad ke-14M.

Kerajaan Melaka Bermula 1262M

Berdasarkan Sejarah Melayu versi Raja Bongsu (MS18 Stamford Raffles), yang mencatatkan penubuhan Melaka berlaku pada 660H (1262M), dan dibanding dengan 28 lagi versi lain Sejarah Melayu yang merakamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah Melaka, menunjukkan bahawa tahun penubuhan Melaka pada 1401M adalah tidak tepat. Bahkan, peristiwa-peristiwa yang dirakam di dalam kronik-kronik Melayu dan prasasti-prasasti menunjukkan ia berlaku jauh lebih awal daripada tahun 1401M. Tahun-tahun selepas 1401M boleh dianggap tahun kemuncak bagi kerajaan Melaka, bukannya tahun penubuhan, terutama dengan bermulanya Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M dan berlakunya kunjungan Laksamana Cheng Ho pada 1405M. Peristiwa-peristiwa di Melaka tidak dapat dibandingkan dengan antara kronik-kronik disebabkan oleh tarikh penubuhan Melaka yang dirumuskan secara tidak tepat.

Setelah melihat secara keseluruhan peristiwa-peristiwa politik, dakwah, diplomatik dan perperangan yang berlaku, kita harus menerima bahawa tarikh tepat tentang penubuhan Melaka adalah berlaku pada 1262M. Tarikh ini lebih selari dengan keseluruhan peristiwa yang berlaku pada abad ke-13 hingga 15M. Oleh itu, usia sebenar kerajaan Melaka ialah 249 tahun (1262-1511M) dan ia wujud sezaman dengan Samudera-Pasai (1267-1521M). Petunjuk-petunjuk yang baru ini akan merumuskan dengan lebih tepat bagaimana bangsa Melayu bangkit sebagai sebuah empayar Islam sebaik sahaja runtuhnya empayar Budhha Sriwijaya, sekali gus menjawab bagaimana gerakan dakwah tanpa perperangan telah menular dengan begitu cepat di Nusantara, apabila dua kerajaan yang bersaudara – Melaka dan Samudera-Pasai – memacu dakwah serentak. Kekuatan Samudera-Pasai sebagai pusat penyebaran ilmu telah diperkasakan oleh Melaka sebagai kuasa politik dan pusat perdagangan terbesar ketika itu. Kombinasi inilah yang merangsang kebangkitan dakwah Islam pada abad ke-14 dan 15M.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
26 Syawal 1439 / 10 Julai 2018