Home Artikel PAS Wilayah

Kenyataan Media Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan : Pandangan Tan Sri Zainuddin Maidin Sangat Ekstrem, Wajar Dikenakan Tindakan Tegas

239 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

PANDANGAN TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN SANGAT EKSTREM, WAJAR DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS
(10 Julai 2018)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) mengutuk saranan Tan Sri Zainuddin Maidin agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada “amalan agama jumud”. Kami menganggap cadangan tersebut mewakili golongan pelampau (ekstrem) yang mahu memecahkan perpaduan dan kesatuan umat Islam dan beliau wajar diambil tindakan atas hasutan melampau itu.

2. Di sebalik kenyataan Datuk Dr Mujahid bahawa parti yang menggunakan agama dan kaum sudah tidak lagi relevan, ada juga insan yang ‘terlebih sudu dari kuah’ dengan memberi saranan melampau supaya menutup sekolah tahfiz. Apa kaitan parti politik berteraskan agama dengan sekolah tahfiz? Mengapa beliau begitu sakit hati terhadap umat Islam dan sistem pendidikan agama terutama tahfiz? Ia memberi isyarat bahawa kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu selari dengan kehendak golongan liberal dan sekular di negara ini dan saranan itu antara cetusan awal untuk ‘memerdekakan doktrin’ mereka untuk diamalkan.

3. Kami melihat Tan Sri Zainuddin Maidin sebenarnya yang berfikiran jumud dan sempit. Di saat manusia bergerak ke hadapan (progresif) dia pula mahu mengundur ke belakang. Umat Islam tidak pernah ada masalah dengan sekolah tahfiz, ia telah wujud beribu tahun dahulu, sebelum kewujudan parti politik negara ini. Bahkan sistem sekolah tahfiz semakin mendapat kepercayaan ibu bapa , tiba-tiba Tan Sri Zainuddin Maidin pula merasa dengki dengan sekolah ini dan berusaha agar ia ditutup.

4. Mungkin dengan kejahilan umat Islam terhadap Al Quran dan agama Islam itu dilihat progresif dan maju oleh beliau. Semakin tidak faham anak-anak muda umat Islam terhadap al Quran dan Sunnah, tidak menghayati hukum Islam dan semakin jauh umat Islam terhadap agamanya sendiri, ia semakin baik kerana musuh Islam sentiasa berkeinginankan umat Islam hanyut dengan kehidupan tanpa panduan agama, yang akhirnya menjerumus ke arah kemusnahan.

5. Justeru, DUPWP mendesak Datuk Dr Mujahid bersikap keras dan tegas kepada golongan pelampau seperti ini. Kenyataan-kenyataan beliau yang begitu longgar boleh menjadi senjata makan tuan oleh golongan liberal dan sekular. Kepada beliau, perlu diingatkan bahawa jangan membuka pintu fitnah dan ruang kebebasan tanpa had atas nama demokrasi moden dan kesederhanaan. Umat Islam tidak perlu menunggu lima tahun lagi untuk menghukum kedegilan kerajaan yang gagal membela dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

USTAZ MOHD ALI BIN JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan