Home Artikel PAS Pulau Pinang

MAJLIS RUMAH TERBUKA PAS NIBONG TEBAL MERIAH

104 views
SHARE

Oleh: Ju Abdul Rahman

NIBONG TEBAL– Ahad 08 Julai 2018, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Nibong Tebal berlangsung meriah dan penuh muhibbah.

Kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak dari jam 11.30 pagi itu menyaksikan dataran Pasti Nurul Hilal Sungai Bakap dipenuhi dengan pengunjung yang hadir. Kehadiran dianggarkan seramai 500 orang.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri adalah sebahagian daripada program tahunan PAS Nibong Tebal.

Hadir memeriahkan majlis, Penolong Setiausaha PAS Pulau Pinang, Hj Jamil Abd Rahman, Bendahari PAS Pulau Pinang, Mohamad Noor bin Che Man dan Ustaz Osman Jaafar AJK PAS Pulau Pinang.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran tetamu jemputan YDP Kulim Bandar Baharu, Ustaz Haji Hassan Razak. Beliau hadir bersama timbalannya.

Para tetamu diraikan pimpinan PAS Kawasan Nibong Tebal diketuai YDP PAS Nibong Tebal Tn Mohamad Ahmad, Ketua Penerangan Sdr Nor Zamri Latiff, Ketua Pemuda PAS Nibong Ustaz Zulazhar Mohamad, AJK Kawasan, Sdr Helmi Harun dan kepimpinan Dewan Muslimat Nibong Tebal.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Tn Mohamad Ahmad, majlis sambutan hari raya kali ini sangat meriah dan dihadiri ramai tetamu terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat, tanpa mengira fahaman ideologi dan parti.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu yang hadir. Beliau turut mengingatkan agar amalan sepanjang Ramadhan diteruskan pada bulan-bulan lain seperti membaca Al-Quran, bahkan berusaha memahami isi kandungannya.

Turut berucap pada majlis itu Ketua Pemuda PAS Nibong Tebal Ustaz Zulazhar Mohamad.
Dalam ucapannya mengingatkan, Syawal adalah bulan kemenangan orang-orang beriman. Hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja akan dikurniakan kemenangan hakiki di dunia apatah lagi di akhirat.

Beliau turut menegaskan pasca PRU14 Pas akan terus menjadi Pembangkang yang efektif dalam menilai segala dasar-dasar kerajaan PH.

Kanak-kanak yang hadir turut diraikan dengan pemberian duit raya. Sumbangan telah disempurnakan oleh YDP Tn Mohamad Ahmad dan Ketua Pemuda Ustaz Zulazhar Mohamad.

Turut kelihatan dalam majlis Rumah Terbuka PAS Nibong Tebal kali ini Dato Mahmud Zakaria Mantan ADUN Sungai Acheh dan beberapa pimpinan UMNO Bahagian Nibong Tebal.

PAS Nibong Tebal terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.