Home Artikel PPP

Kesultanan Melaka: Hubungan Antarabangsa

3549
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 27

Gambar hiasan

KESULTANAN MELAKA: HUBUNGAN ANTARABANGSA

KEBANGKITAN Melaka berlaku pada saat politik dunia sedang mengalami perubahan. Dalam dunia Islam, kejatuhan Daulah Fatimiyah (1171M), Saljuk (1194M), Ghowri (1206), Abbasiyah Baghdad (1258M) dan Muwahidun (1269M) telah mewarnai peralihan abad ke-13M. Di luar dunia Islam pula menyaksikan kejatuhan kerajaan Chola (1279M) di India, Song (1279M) di China dan Singhasari (1292M) di Jawa. Daripada kejatuhan ini, bangkit pula Mamalik Delhi (1206M), Mamalik Mesir (1250M) dan Othmaniyah (1299M), bersama Dinasti Sukhotai (1238M), Yuan (1271M) dan Majapahit (1292M). Di celah-celah keruntuhan dan kebangkitan inilah, munculnya Melaka (1262M) dan Samudera-Pasai (1267M) sebagai kerajaan Islam di Nusantara. Suasana ini telah mendorong persaingan politik yang sangat sengit antara dunia timur dan barat, sedangkan Melaka berada di tengah-tengah laluan antara keduanya. Persaingan telah membawa penaklukan dan perluasan kuasa sehingga peperangan telah menjadi ciri asas perkembangan politik di seluruh dunia pada abad. Melaka juga terpaksa menerima realiti ini membina kekuatan sebagai kuasa politik yang baru.

Warna politik ini telah menyebabkan Melaka sentiasa berada dalam keadaan terancam, terutama bagi persaingan politik di rantau Asia Tenggara. Kebangkitan Ayutthaya dalam menyaingi Sukhotai, dan kebangkitan Majapahit yang melanjutkan kerajaan Singhasari telah mewujudkan bukan sahaja saingan kepada Melaka, tetapi juga ancaman. Dalam menghadapi persaingan dan ancaman inilah, Melaka telah mengambil langkah-langkah diplomatik untuk mengukuhkan kedudukannya di pentas politik serantau Hubungan pelbagai hala ini wajar dilakukan oleh Melaka ketika ini kerana di Melaka sendiri dicatatkan terdapat 83 bangsa dari pelbagai tempat datang berdagang. Dalam konteks ini, Melaka telah menjalinkan hubungan baik dengan Majapahit sebagai kuasa politik terbesar di Nusantara, dengan China selaku kuasa politik di sebelah timur dan juga dengan negara-negara Islam di barat Asia.

Melaka: Kebangkitan dan Ancaman

Kebangkitan hampir serentak antara Melaka dengan Sukhotai dan Majapahit telah menimbulkan persaingan politik yang besar di Asia Tenggara. Di utara, persaingan antara Sukhotai dan Ayutthaya pula telah menyebabkan gerakan perluasan wilayah berlaku ke atas Semenanjung Tanah Melayu. Selepas Ligor dikuasai oleh Sukhotai pada 1283M, kerajaan Buddha Siam itu mula menyerang negeri-negeri Melayu sehingga dapat menguasai Pahang sampai Singapura, selain menyerang Samudera-Pasai pada 1351M. Serangan ke atas Melaka berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M) di mana Sejarah Melayu mencatatkan serangan yang dibuat oleh Awi Cakri dan Awi Dicu di Muar sebanyak dua kali selepas serangan ke atas Samudera-Pasai. Dikatakan, salah satu faktor serangan Siam ialah kerana tindakan Parameswara membunuh Temagi, wakil Siam di Temasik sebelumnya. Namun kaitan antara kedua-dua peristiwa ini masih belum jelas. Apakah Temagi wakil Sukhotai yang masih baru ditubuhkan pada 1238M, sedangkan Ligor hanya dikuasai oleh Sukhothai pada 1283M. Apa pun persoalan yang berbangkit, Siam telah menjadi ancaman kepada Melaka, sebagai mana hancurnya kerajaan Melayu di utara, Malayur (lanjutan Jawaka) yang dipimpin oleh Raja Sang Tawal setelah diserang oleh Siam pada 1295M.

Di selatan, kedudukan Melaka digugat oleh kebangkitan Majapahit. Jika Sukhotai bersaing dengan Ayutthaya di utara, Majapahit pula melanjutkan kesinambungan Singhasari bagi meluaskan pengaruh Hindu selepas kejatuhan empayar Buddha Sriwijaya. Mangkubumi Majapahit, Patih Gajah Mada (m. 1360M) yang membuat Sumpah Palapa, telah menyerang seluruh Nusantara antara 1336-1357M. Dalam serangan ini, Langkasuka, Kelantan dan Kedah di utara telah ditawan, Selangor hingga Temasik juga dikuasai Majapahit. Di Sumatera, Samudera-Pasai, Minangkabau, Jambi dan Palembang juga dijajah. Manakala Tanjung Pura, Sambas, Banjarmasin, Pasir dan Kutai di pesisir Kalimantan juga turut menjadi jajahan Majapahit kemudiannya. Keadaan ini memberikan ancaman yang sangat besar kepada Melaka dalam menghadapi persaingan politik dan perdagangan di Nusantara. Sesetengah pengkaji, mengatakan Parameswara berundur dari Singapura ke Muar adalah akibat serangan Majapahit, tetapi fakta ini kurang tepat kerana Majapahit wujud selepas tertubuhnya Melaka. Berkemungkinan serangan tersebut dibuat oleh Singhasari atau Dharmasraya yang wujud sezaman dengan kerajaan Singapura.

Berbeza dalam menghadapi ancaman Siam yang diselesaikan melalui perlindungan China, untuk menghadapi Majapahit, Sultan Melaka telah mengambil langkah berbaik-baik. Dikatakan pada zaman Sultan Muzaffar Shah, selepas siri serangan Majapahit ke atas kerajaan-kerajaan seluruh Nusantara, Melaka menerima jemputan diplomatik daripada Patih Gajah Mada. Sultan Melaka bersama Hang Tuah lima bersaudara telah datang ke Majapahit. Dalam lawatan inilah berlakunya pertandingan antara pahlawan Majapahit dan Melaka, di mana Taming Sari telah ditewaskan oleh Hang Tuah, lalu Raja Majapahit menganugerahkan Keris Taming Sari kepada pahlawan Melaka itu. Sejak dari terbinanya hubungan diplomatik di antara Melaka dan Majapahit ini, terutama selepas kematian Patih Gajah Mada pada 1360M, tidak lagi berlaku pergeseran dan ancaman Majapahit ke atas Melaka, bahkan pada zaman Sultan Alaiddin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah, beberapa wilayah Majapahit seperti Pahang, Kelantan, Pattani dan Singgora di Semenanjung Tanah Melayu, serta Jambi di Sumatera telah menjadi wilayah taklukan Melaka.

Hubungan Melaka-China

Ancaman Siam dan Majapahit telah mendorong Sultan Mansur Shah mengadakan hubungan dengan Dinasti Ming, yang baru sahaja menguasai China selepas kejatuhan Yuan pada 1368M. Kunjungan diplomatik China yang diketuai oleh Laksamana Yin Ching pada 1404M digunakan untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua kerajaan. Kemudian, hubungan ini diperkukuhkan dengan lawatan Laksanama Cheng Ho pada 1405M, 1408M dan 1412M. Berikutan daripada itu juga, Sultan Mansor Shah telah menikahi Puteri Hang Li Po dan menghantar Hang Tuah ke China sebagai diplomat untuk mengukuhkan hubungan dengan China. Sejak dari awal abad ke-15M, hubungan Melaka dengan Dinasti Ming menjadi begitu baik, di mana Melaka dikatakan menghantar ufti kepada China bagi mengukuhkan hubungan dan mendapat perlidungan politik dari ancaman Siam dan Majapahit. Hubungan ini berterusan sehingga zaman Sultan Mahmud Shah.

Hubungan Melaka-China bukan sahaja ditandai oleh lawatan diplomatik antara kedua-dua kerajaan dan penghantaran ufti kepada Dinasti Ming, tetapi pengiktirafan China terhadap Melaka sebagai sebuah kerajaan yang merdeka di Nusantara, di mana China telah mengurniakan persalinan, payung kuning diraja dan cop mohor sebagai tanda pengiktirafan. Bagi Melaka pula, hubungan ini penting kerana sebahagian besar pentadbir Dinasti Ming adalah orang Islam termasuk Laksamana Cheng Ho. Sejak wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, kuasa-kuasa politik Nusantara seperti Majapahit dan Siam tidak lagi menjadi ancaman kepada Melaka. Boleh dikatakan sepanjang abad ke-15M, Melaka menikmati keamanan kerana bukan sahaja tidak digugat oleh mana-mana kuasa politk, bahkan telah mengambil langkah meluaskan pengaruh politiknya sehingga Selat Melaka dapat dikuasai sepenuhnya. Disebabkan faktor ini, kestabilan politik telah wujud di Melaka sehingga aktiviti perdagangan dan pengembangan dakwah Islam dapat berkembang pesat.

Melaka Dalam Rangkaian Khilafah Islamiyah

Sebagai sebuah kerajaan Islam di Nusantara, salah satu aspek yang penting dalam hubungan antarabangsa ialah hubungan dengan pusat kekhalifahan Islam di Kaherah. Ketika Melaka ditubuhkan pada 1262M, kekhalifahan Abbasiyah di Kaherah baru sahaja berdiri, selepas kehancuran Baghdad akibat serangan Mongol pada 1258M. Seperti mana Samudera-Pasai yang muncul dalam period yang sama, hubungan kerajaan-kerajaan ini dengan khalifah Islam di Kaherah sangat penting sehingga dalam banyak hal berkait pentadbiran Islam, terpengaruh dengan Kaherah. Kemunculan ulamak-ulamak dari Hijaz dalam pentadbiran menggambarkan pengaruh ini. Tetapi, pengaruh sebenar kekhalifahan ini terlihat apabila Daulah Othmaniyah ditubuhkan pada 1299M, dan mula menjadi kuasa besar melalui penguasaan ke atas Eropah Timur dan pemindahan ibu negeri ke Edirne pada 1363M. Apabila Sultan Mohammad al-Fateh membuka Constantinople pada 1453M, Melaka telah berkiblat ke Istanbul (Constantinople) di mana sultan-sultan Othmaniyah disebut sebagai Sultan Rom. Diriwayatkan, Hang Tuah pernah mengunjungi Sultan Rom ini dalam kunjungan diplomatiknya ke Delhi, Mekah dan Rom ketika itu. Atas hubungan ini juga, Sultan Rom telah mengirimkan senjata dan ketumbukan tentera ke Melaka dan Aceh dalam menghadapi Portugis.

Selain hubungan secara khusus dengan khalifah, Melaka juga menpunyai hubungan yang baik dengan Kesultanan Delhi termasuk Dinasti Khilji (1290-1320M), Tughluq (1320-1414M), Sayyid (1414-1451M) dan Lodi (1451-1526M). Dinasti Tughluq yang pernah dikunjungi oleh Hang Tuah pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1343-1373M) adalah antara kerajaan Islam yang paling banyak membantu Nusantara dalam gerakan dakwah, termasuk mengirimkan rombongan Syed Hussein Jamadil Kubra pada 1345M. Kerajaan-kerajaan dari Maghribi, Palestin, Parsi dan India turut menghantar pendakwah ke Nusantara yang kemudiannya membentuk Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M. Turut berhubungan rapat dengan Melaka ialah Syarif Mekah yang banyak juga menghantar ulamak dan pendakwah ke Melaka. Di peringkat serantau pula, perkembangan dakwah Islam diperkukuhkan oleh hubungan baik Melaka dengan Samudera-Pasai, di samping kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Champa dan Jawa.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
28 Syawal 1439 / 12 Julai 2018