Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Kembali Kepada Islam

247 views
SHARE

 

 

 

 

 

 

 

KEMBALI KEPADA ISLAM

1. Isu demi isu yang timbul dalam negara terutama sejak kerajaan baharu mentadbir pasca PRU-14 dilihat semakin membimbangkan dan memberikan impak negatif kepada masyarakat baik dalam negara atau luar negara. Isu yang timbul sama ada yang melibatkan pengabaian bahasa kebangsaan, budaya LGBT yang semakin subur, ancaman liberalisme, pelantikan Ketua Hakim Negara yang terpalit dengan pelbagai kes mengancam kredibiliti Islam dan sebagainya dilihat berpunca daripada satu asas permasalahan dasar iaitu apabila ia tidak diurus dengan cara yang baik mengikut lunas-lunas agama Islam.

2. Sedangkan keyakinan kita, dasar Islam adalah jalan terbaik dalam apa sahaja penyelesaian yang dilakukan. Malah inilah fitrah dalam mencapai segala kebaikan kerana ia merupakan wahyu Allah menerusi syariat-Nya. Apabila manusia lari daripada syariat Allah, di situlah pengubahan fitrah yang akhirnya membawa padah dengan timbulnya pelbagai gejala songsang yang melanda.

Firman ALLAH SWT:

{بَلِ اتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَهْوَاءَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ فَمَنْ يَهْدِي مَنْ أَضَلَّ اللَّهُ ۖ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ. فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ}

Maksudnya: “Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka daripada azab. Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan. Turutilah agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.[Al-Rum: 29-30]

3. Sejarah Islam membuktikan penyelesaian secara Islam bukan sekadar memberikan keadilan kepada semua pihak dan menyelesaikan permasalahan isu yang timbul. Malah ia sekaligus adalah sebagai satu bentuk dakwah yang akhirnya dapat mengetuk pintu hati manusia serta menyedari akan kehebatan agama Islam dan keindahannya sebagai panduan dalam kehidupan. Hal ini boleh dilihat sebagaimana dalam kes pertikaian baju besi antara Sayyidina Ali bin Abi Thalib dengan seorang Yahudi yang diadili oleh Qadhi Syuraih. Dengan berprinsipkan kaedah Islam yang adil, akhirnya Yahudi tadi menyerahkan kembali hak yang telah diputuskan oleh mahkamah kepada beliau malah Yahudi tersebut turut memeluk Islam kerana kagum dengan prinsip keadilan Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu yang timbul.

4. Sebab itulah syariat Allah SWT yang diturunkan merupakan satu rahmat, keadilan dan mendatangkan maslahat kepada manusia. Hanya manusia yang ingin kembali kepada Islam sahaja akan diberi petunjuk dan mereka yang terus berdolak dalih dengan sistem acuan manusia akan menyebabkan sesuatu isu semakin parah dan tidak memberikan jalan penyelesaian. Inilah hakikat yang berlaku pada hari ini, Islam tidak diangkat sebagai panduan dan cara hidup yang sebenar. Islam disempitkan dalam konteks kerohanian dan ibadah semata-mata. Urusan pemerintahan negara dan pemilihan jawatan penting dalam urusan menjaga imej Islam seperti peguam dan hakim negara diserahkan kepada orang bukan Islam yang sinis terhadap tuntutan Islam. Sedangkan Islam itu meliputi seluruh kehidupan yang lengkap. Bahkan keistimewaan syariat Islam itu sendiri, ianya sangat sempurna lagi menyempurnakan.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim ada menyatakan:

فَإِن الشَّرِيعَة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح الْعباد فِي المعاش والمعاد، وَهِي عدل كلهَا، وَرَحْمَة كلهَا، ومصالح كلهَا، وَحِكْمَة كلهَا، فَكل مَسْأَلَة خرجت عَن الْعدْل إِلَى الْجور، وَعَن الرَّحْمَة إِلَى ضدها، وَعَن الْمصلحَة إِلَى الْمفْسدَة، وَعَن الْحِكْمَة إِلَى الْعَبَث فليستْ من الشَّرِيعَة.

Maksudnya: “Sesungguhnya syariat Islam itu binaan dan asasnya berteraskan kebijaksanaan dan maslahat bagi manusia sama ada di dunia dan di akhirat. Syariat Islam merupakan keadilan, rahmat, maslahat kebaikan, dan mempunyai hikmah pada keseluruhannya. Maka segala permasalahan yang terkeluar daripada keadilan kepada penyelewengan, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahat kebaikan kepada kerosakan dan daripada mempunyai hikmah kepada sia-sia, maka ia sebenarnya bukanlah daripada syariat Islam”.

5. Oleh yang demikian, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) melihat tindakan penyelesaian mestilah berpandukan prinsip nas al-Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias. Oleh itu, dalam semua isu termasuk isu pendakwaan salah laku, apa yang ditekankan oleh DUPP ialah kekuatan hujahan bukti kerana prinsip kehakiman Islam memutuskan bahawa seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Isu LGBT juga hendaklah ditangani dengan berkesan agar ia dapat dibendung secara keseluruhannya. Penguatkuasaan menerusi tindakan hukuman adalah mekanisme bagi membendung budaya songsang LGBT daripada terus subur dan berkembang luas. Ini kerana LGBT adalah bukan sekadar bercanggah dengan agama Islam malah ia turut tidak selari dengan naluri manusia yang normal. Begitulah juga isu lain yang berlaku dalam negara. Selagimana dasarnya tidak berubah dan kembali kepada Islam, maka selagi itulah isu tidak dapat diselesaikan dengan baik. Apa pun isu, di mana berlaku dan siapa yang terlibat, rujuklah panduan yang telah diberikan oleh Allah SWT dan yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.

6. Justeru, pasca PRU-14 memperlihatkan sepatutnya kerajaan baharu yang dibentuk sama sekali tidak boleh mengulangi kesilapan kerajaan lama UMNO dan Barisan Nasional sebelum ini apabila bersikap acuh tidak acuh dalam memilih panduan Islam dalam pemerintahan sebagai rujukan tertinggi. Isu tidak akan dapat diselesaikan sekiranya dasar pemerintahan yang sama diteruskan. Masalah korupsi, penyelewengan, kezaliman, kemungkaran dan sebagainya tetap berlaku dan jahiliah tetap segar bersarang dalam jiwa rakyat Malaysia. DUPP mengajak seluruh umat Islam apatah lagi kepimpinan negara yang beragama Islam tidak kira apa sahaja latarbelakang parti politik supaya kembali kepada Islam secara keseluruhannya. Jadikan Islam sebagai rujukan dan penyelesaian ummah. Firman Allah SWT:

{فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا}

Maksudnya: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuh hati.” [Al-Nisaa: 65]

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

28 Syawal 1439H / 12 Julai 2018 (Khamis)