Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ibrah ‘Pemuda Gua’

302 views
SHARE

Dan kami tetapkan hati mereka ketika mereka semua berdiri (dengan beraninya) lalu berkata; “Tuhan kami adalah Tuhan (yang memiliki) langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru yang lain daripada-Nya sebagai Tuhan, sesungguhnya kami kalua demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran” [ Q:S. Al-Kahfi : 14 ]

Kisah Ashabul Kahfi telah Allah S.W.T rakamkan dalam Surah Al-Kahfi ayat 9-16 sebagai bukti kekuasaan-Nya yang boleh membangkitkan semula orang mati dan menidurkan manusia seberapa lama masa yang dikehendaki-Nya.

Diriwayatkan bahawa para pemuda ini telah lari dan menyembunyikan diri di dalam gua bagi menyelamatkan keimanan mereka. Mereka terdiri daripada golongan yang ternama dan tinggi kedudukan dalam masyarakat pada zaman itu.

Walaupun berada di bawah pemerintahan seorang raja yang kafir dan tidak menjalankan hukum Allah serta mendapat sokongan daripada rakyat, mereka tetap teguh mempertahankan aqidah dan kepercayaan mereka terhadap Allah Yang Esa.

Peristiwa yang penuh iktibar ini menunjukkan kepada kita betapa tinggi dan mahalnya harga keimanan seseorang. Hal ini menjadi bukti bahawa sudah barang pasti, akan tetap ada golongan yang menegakkan Islam sehingga hari kiamat biarpun dunia dalam keadaan huru-hara, penuh kesesatan dan penyelewengan.

Dari sudut yang lain, peristiwa ini mengajak kita agar tidak mengorbankan keimanan kita dengan mengikuti golongan yang jahil dalam keadaan diri kita sendiri masih belum cukup ilmu kerana bimbang ianya bakal memesongkan kita daripada jalan yang sebenar.

Dalam keadaan semasa yang sangat mencabar ini, seharusnya kita mengambil pengajaran daripada kisah-kisah yang telah Allah S.W.T ceritakan kepada kita dalam Al-Quran, bagaimana kebanyakannya seakan-akan telah terjadi di zaman ini.

Selain kisah Ashabul Kahfi, kita juga boleh melihat bagaimana kejatuhan Islam di bumi Andalusia (Sepanyol) dek kerana lalai dan leka dengan nikmat kekayaan, kemewahan dan harta benda.

Pemimpin-pemimpin mereka hidup bermegah-megah, manakala ulama’ nya tidak berani untuk menzahirkan kebenaran, mereka hanya menjadi pengampu raja dan mengejar kemewahan dunia.

Hingga Allah S.W.T menurunkan bala yang dahsyat apabila kerajaan Islam Sepanyol diserang dan dijatuhkan oleh golongan Kristian. Hasil tinggalan masjid-masjid yang gah itu masih boleh dilihat hingga kini namun sayang ianya telah bertukar menjadi gereja.

Allah S.W.T telah menunjukkan kepada kita bagaimana sebuah kerajaan Islam boleh jatuh pada bila-bila masa sahaja sekiranya umat-Nya lalai dan leka dengan kenikmatan dunia sehingga melupakan Allah Yang selayaknya Memberikan kekuasaan, sehingga umat ini tidak sanggup lagi menzahirkan ajaran Islam.

Umat Islam wajib memelihara Iman dan Islam walaupun terpaksa berhadapan dengan kematian, penderitaan, kesusahan dan kepayahan kerana hanya Iman dan Islam yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, bukan harta kemewahan, anak, keluarga, pangkat, jawatan dan selainnya.

Rujukan : Tafsir Surah Al-Kahfi, Hj Abdul Hadi Awang

Dikeluarkan oleh,
Sekretariat
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Julai 2018 bersamaan 28 Syawal 1439