Home Berita PAS Kelantan

Kesemua masjid di Kelantan memulakan program penggredan, bantu tingkatkan imej

104
SHARE

KOTA BHARU, 29 September: Bermula tahun hadapan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan melaksanakan program penggredan masjid kepada 608 buah masjid di seluruh Kelantan, bagi memastikan ia berfungsi dan mampu berperanan lebih progresif dan efektif.

Yang Dipertua (YDP) MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, melalui program ini juga secara tidak langsung ia boleh meningkatkan imej kesemua masjid yang ada khususnya dalam aspek keceriaan dan kebersihan fizikal bangunan masjid.

“Melalui program penarafan ini, beberapa kriteria kita perlukan antaranya termasuklah aspek pengurusan kewangan, kebersihan serta beberapa aspek lain yang dikira bersesuaian, dan kita di MAIK berusaha untuk memastikan kecekapan pegawai masjid dalam menguruskan urusan harian selain program pengimarahan,” katanya pada Majlis Penutup Kursus Pengurusan Kewangan Dan Integriti Majlis Negeri, Bandar dan Jajahan Negeri Kelantan dan Penyerahan Zakat Bank Rakyat di Kota Bharu.

Sementara itu, kursus berkenaan adalah salah satu program kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) cawangan Kelantan bermula sejak 2018. Pada majlis yang sama sejumlah RM600,312 zakat tahunan telah diterima MAIK hasil sumbangan daripada Bank Rakyat.

“Kita percaya melalui program ini, mereka perlu bersaing untuk menaik taraf, melalui cara sebegini kita mengharapkan kualiti setiap masjid di Kelantan dapat dipertingkatkan melalui beberapa kriteria yang telah ditetapkan,” tambahnya.