DABONG, 16 Dis: Demi keselesaan dan kepentingan pengguna jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong, Pusat Khidmat DUN (PKD) Dabong mengambil inisiatif mengadakan gotong-royong dengan penduduk setempat untuk membaik pulih jalan raya di beberapa kawasan kampung terlibat.
Menurut Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin, PKD telah mengeluarkan dana RM10,000 untuk membaiki jalan rosak dan berlubang di Kampung Slow Pak Long, Selasa lalu.
Ketika dihubungi beliau berkata, gotong-royong baik pulih jalan raya ini mendapat sumbangan tenaga 40 penduduk kampung terlibat.
Terdahulu, pihak DUN juga memperuntukkan RM5,000 bagi menjayakan aktiviti gotong-royong membaiki jalan ke kawasan tandak air Kampung Jelawang demi memudahkan penduduk setempat berulang-alik ke sana membaiki tandak air mereka.
“Banyak jalan raya rosak dan berlubang akibat banjir, sekiranya penduduk kampung mengadu masalah, kita selesaikan segera dan akan datang, jalan Kampung Sri Jaya dan Kampung Mahligai pula akan dibaik pulih”, katanya.