Home Berita PAS Kelantan

Kesedaran untuk bebas COVID-19

260
SHARE
Kes aktif COVID-19 masih tinggi, penularannya pula makin menjadi-jadi. Kes kali ini sudah diklasifikasikan sebagai kes jangkitan sporadik. Ini bermakna faktor jangkitan tidak dapat dikesan baik samada di tempat kerja atau dalam kalangan komuniti setempat.
Jangkitan COVID-19 adalah jangkitan melalui titisan cecair badan samada air liur atau bersin melalui bawaan udara. Apa yang membimbangkan, kita tidak dapat mengenalpasti individu mana yang membawa virus ini. Bahkan lebih merisaukan, pembawa virus tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan. Tambahan pula, virus COVID-19 kini telah berevolusi varian baharu yang mudah merebak.
Oleh itu, kita mesti beranggapan, setiap orang disekeliling kita berpotensi menjadi pembawa virus. Justeru, langkah berjaga-jaga dengan menjaga penjarakkan fizikal sesama kita boleh melindungi diri dari sebarang kontak rapat.
Kita mungkin boleh memperdaya pihak berkuasa tetapi bukan kepada virus. Kita harus sedar bahawa virus ini tidak memilih untuk menjangkiti kepada siapa, baik mereka yang tinggal di bandar atau di kampung. Muda atau tua, miskin atau kaya.
Kita boleh lihat betapa kesan terjangkiti virus ini sangat memilukan hati. Pesakit mengalami kesukaran bernafas sehingga perlu bergantung kepada mesin bantuan. Ditahan sendirian dan keluarga tidak dibenarkan untuk menjaga.
Apa yang lebih menyayat hati, bila berlaku kematian kerana COVID-19, ahli keluarga tidak dapat berada disisi jenazah apatah lagi bersua disaat akhir sehingga dikebumikan. Telah banyak kita menyaksikan kisah-kisah yang menyayat hati disekeliling kita, mudah-mudahan kita dapat menjaga diri dan mendoakan agar dijauhkan dari keadaan sebegitu.
Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan kekal di rumah dan keluar bila ada keperluan antara langkah yang paling efektif setakat ini. Selain itu, ketika berada diluar rumah, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan bagi membendung virus yang tersebar disekeliling dari memasuki rongga badan kita.
Sebolehnya kita tidak digalakkan untuk berbual dengan mana-mana orang secara jarak dekat, apatah lagi mengadakan pertemuan meskipun ditempat sulit. Mendaftarkan diri dan keluarga untuk vaksinisasi adalah satu usaha ikhtiar yang paling strategik.
Oleh itu, baik segenap lapisan masyarakat, ayuh kita saling bergandingan bahu menyinsing lengan, berjihad bersama-sama membantu memutuskan rantaian COVID-19 ini. Moga dengan usaha ini serta melakukan amal soleh sebanyaknya, Allah S.W.T mengangkat musibah ini serta merahmati kita semua. Aamin ya rabbal ‘alamin.
‘Bersama menasihati’.
YB. DR. IZANI BIN HUSIN
EXCO KERAJAAN TEMPATAN, PERUMAHAN DAN KESIHATAN NEGERI KELANTAN
06 JUN 2021