Home Berita PAS Kelantan

Kerjasama negeri, Tourism Malaysia pulihkan sektor pelancongan Kelantan

130
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 1 Sept: Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (😎 Dato’ Md Anizam Ab Rahman memaklumkan Kelantan mengalami kerugian purata RM2.6 bilion tahun lalu kesan wabak COVID-19.

Menurutnya, walaupun sektor pelancongan di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat dalam Perlembagaan Persekutuan, semua pihak termasuk Kerajaan Negeri perlu bersama-sama memulihkan semula keadaan.

“Pada pendapat kita pejabat cawangan Tourism Malaysia di peringkat negeri perlu diadakan kembali. Kita faham sektor tourism sudah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat di bawah fasa 25A.

Sebab itu kita minta pejabat Tourism Malaysia cawangan Kelantan diwujudkan semula untuk kita bersama-sama merancang pembangunan semula sektor pelancongan, bukan sahaja di Kelantan tetapi semua negeri di Malaysia,” katanya ketika merasmikan webinar Dialog Strategik Pembinaan Tamadun Kelantan yang bertajuk ‘Keunikan Negeri Kelestarian Pelancongan’ yang diadakan secara maya, Isnin lalu.

Dialog anjuran Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS) itu bertujuan mengumpul maklumat serta input berguna daripada pengiat industri pelancongan untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi ditambah baik dari semasa ke semasa.

Program melibatkan 80 peserta tersebut dipengerusikan PKS, Dr. Wan Nik Wan Yussof, menampilkan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Ustaz Dato’ Dr Johari Mat dan Pengurus Besar Suka Borneo Travel, Mohd Rahimin Mustafa sebagai panel.

Terdahulu, Kerajaan Pusat mengumumkan penutupan semua pejabat Tourism Malaysia seluruh negara bagi mengelakkan pertindihan peranan dengan agensi Kerajaan Negeri dalam mempromosikan lokasi pelancongan.

Pengumuman itu membabitkan 14 pejabat pelancongan, dan sekarang sektor pelancongan di Pantai Timur berpusat di Kuantan, Pahang.