KERJASAMA BUKAN BERGABUNG
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS ditemuramah oleh wartawan Mingguan Malaysia, Zulkiflee Bakar bagi menjawab persoalan semasa dan menerangkan pendekatan PAS dalam PRU 14. Wawancara ini telah disiarkan dalam Akhbar Mingguan Malaysia pada hari ini, 18 Februari 2018.
MINGGUAN: Apa khabar Dato’ Seri? Ramai yang memperkatakan mengenai tahap kesihatan Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri ceritakan sedikit keadaan Dato’ Seri sekarang?
PRESIDEN PAS: Alhamdulillah kesihatan saya semakin baik dan sangat baik, namun masih dalam tempoh pemulihan dan pemerhatian doktor.
MINGGUAN: Apakah rasional atau alasan di sebalik keputusan PAS untuk bertanding di 130 kerusi?
PRESIDEN PAS: PAS membuat keputusan berdasarkan maklumat semasa daripada akar umbi di setiap kawasan dan cawangan kita di seluruh negara. Tujuan utama PAS menyertai pilihan raya adalah untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat selain mahukan kemenangan di dunia sebagai anugerah dan janji Allah.
PAS menawarkan manifesto Malaysia yang sejahtera bersama tawaran penyelesaian, terpulang kepada rakyat untuk menentukan pemilihan mereka. Kita mengharapkan rakyat dapat memberikan sokongan sama ada kita memimpin kerajaan atau menjadi parti yang berpengaruh dapat memberi nasihat dan mempengaruhi kerajaan.
Oleh itu, jumlah kerusi yang ditandingi PAS sangat realistik dengan jumlah kawasan yang kita ada sekarang sebanyak 196 kawasan dari 222 kerusi parlimen dan 7,063 cawangan, kita ada kekuatan jentera yang cukup dan calon berkaliber daripada pelbagai latarbelakang untuk bertanding PRU 14.
MINGGUAN: Ada yang berpandangan tindakan PAS untuk bertanding dengan kerusi sebanyak itu bagi membolehkan PAS menjadi parti yang ada kelebihan untuk tawar menawar jika memenangi banyak kerusi?
PRESIDEN PAS: PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam. PAS masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang kerusi sahaja tapi kita mahu menang bersama Islam yang didukung.
Sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat, PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara dan urus tadbir sesuai dengan penuh berhikmah dan matang.
Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam.
MINGGUAN: Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menilai bahawa PAS tidak akan mampu mencapai kemenangan besar apabila bertanding bersendiri? Apa komen Dato’ Seri?
PRESIDEN PAS: PAS berpijak di atas kekuatan sendiri dan jentera sendiri bukan menumpang parti lain, maka tidak menjadi masalah PAS bersendirian. Kita mempunyai pengalaman yang panjang dalam senario politik dalam negara, pernah bersendirian, pernah bertahaluf dengan pihak lain.
Kita ada pusat penyelidikan yang membuat kajian secara terperinci dan turun ke lapangan dengan menilai kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang. Kajian kita bukan sekadar duduk dalam bilik berhawa dingin di atas meja sahaja. Jentera kita bergerak membuat culaan kecenderungan pengundi.
Namun kita tidak merasa selesa, bahkan kita minta jentera setiap negeri, kawasan dan cawangan tingkatkan lagi usaha dan gerak kerja supaya matlamat menang 40 kerusi berjaya dicapai.
Dekati pengundi dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) untuk menarik pengundi atas pagar dan golongan anak muda atau mereka yang fobia dengan kacau bilau politik khususnya pengundi Melayu Islam supaya mengundi PAS.
Kita yakin dengan pendekatan ini kita berjaya mengurangkan ketegangan dan mudah mendekati pengundi. PAS dan Gagasan Sejahtera adalah pilihan terbaik dan alternatif kepada pengundi yang tidak suka kepada BN atau PH, untuk buat perubahan negara ke arah lebih baik.
MINGGUAN: Apabila PAS membuat keputusan tidak lagi bersekongkol dengan Pakatan Harapan, PAS dituduh mahu bekerjasama dengan UMNO? Apa pandangan Dato’ Seri?
PRESIDEN PAS: PAS adalah parti yang dapat menilai baik dan buruk. Kita tidak menghukum semua tindakan kerajaan 100 peratus adalah salah dan kita tidak menjadi pembangkang yang membuta tuli. Kita tidak menganggap tindakan kerajaan semuanya betul, kita tidak menyokong juga secara membuta tuli. Maka PAS mengambil pendekatan konsep ta’awun, bekerjasama dalam perkara baik dan menentang dalam perkara yang tidak baik.
Mereka yang tuduh PAS itu masih membawa cara politik kampung yang tidak matang. PAS sudah bergerak ke depan dan meninggalkan budaya politik kebudak-budakan seperti ini. Bila tidak bersama mereka dituduh bersama UMNO.
Politik Matang yang menjadi pendekatan PAS hari ini adalah politik yang meraikan suasana dan kehendak rakyat. Rakyat tidak minat melihat kecamukan politik yang oportunis, penting diri sendiri dan puak sendiri. PAS boleh duduk dengan sesiapa sahaja untuk berbincang demi kepentingan Islam dan rakyat.
Kita utamakan kepentingan rakyat dan kita komited menawarkan khidmat kepada rakyat melalui program-program kebajikan yang digerakkan di semua peringkat. Rakyat mahu lihat parti yang bekerja bukan parti yang siang malam bercakaran untuk kepentingan politik sempit mereka.
MINGGUAN: Apa pandangan Dato’ Seri berhubung serangan demi serangan yang dilancarkan oleh Pakatan Harapan ke atas PAS khususnya kepada peribadi Dato’ Seri sendiri sehingga Dato’ Seri dianggap pengkhianat manakala PAS pula dianggap sesat, kafir dan sebagainya?
PRESIDEN PAS: Kita anggap itu adalah asam garam politik dalam perjalanan yang mesti dihadapi, cabaran senang, susah, tuduhan dan fitnah. Yang penting kita konsisten, istiqamah dengan dasar dan matlamat perjuangan.
Mereka sudah tidak ada modal untuk menyerang PAS kerana PAS satu-satunya parti yang tidak boleh ditundukkan oleh sesiapa pun. Baik semasa PAS bertahalluf atau bersendirian, PAS tidak mudah dicucuk hidung oleh mana-mana pihak.
Saya sudah jawab berulangkali dan kita minta dibuat siaran live supaya rakyat dapat menilai dengan adil. Tuduhan sesat dan kafir ini tuduhan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan gerakan Islam seluruh dunia, nampaknya mereka berkomplot sama atau ditipu.
MINGGUAN: Sejauhmanakah Dato’ Seri melihat kehadiran Parti Amanah Nasional (PAN) boleh memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap PAS?
PRESIDEN PAS: PAS sudah berulang kali menghadapi serpihan-serpihan sejak tahun 60-an, Parti Imam, Parti Islah, 70-an Parti Berjasa, 80-an Parti Hamim, itu pecahan PAS, yang semuanya ditenggelamkan zaman. Dan sebahagian besar daripada mereka kembali semula kepada PAS. Sepatutnya mereka mengambil iktibar sejarah lama ini. Mungkin mereka ini orang baru, tidak tahu cerita lama.
PAN wujud untuk memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan bagi talian hayat kepada UMNO untuk menang. Kalau benar PAN mahu lawan UMNO, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?
PAN adalah ijtihad yang salah hasil dari campurtangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.
MINGGUAN: Setakat ini bagaimana reaksi penyokong-penyokong PAS terhadap politik matang yang diamalkan oleh PAS termasuklah sedia berada sepentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO dalam memperjuangkan isu Islam sejagat seperti Rohingya dan Palestin?
PRESIDEN PAS: Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) adalah pendekatan yang mewujudkan suasana demokrasi yang sebenar dan tidak bercelaru. Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan berpecah. Pendekatan yang ditajdidkan dan diperbaharui menjadi lebih tersusun dan menyeluruh bermula tahun 2015, khususnya mendepani situasi politik negara dan krisis antarabangsa hari ini.
Melalui politik matang ini, kita menerapkan kepada ahli tentang konsep ta’awun iaitu PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja atas dasar kebaikan dan kebajikan bukan kejahatan dan keburukan. Kerjasama bukan bermaksud bergabung. PAS tidak perlu masuk UMNO untuk kerjasama dalam isu Palestin, Rohingya dan RUU 355.
Bahkan dengan DAP sekalipun kita boleh bekerjasama atas dasar kebaikan dengan syarat menghormati Islam sebagai agama persekutuan dan hak-hak masyarakat majmuk lain. Dan ahli PAS memahami dan menerima pendekatan yang kita bawa hari ini.
MINGGUAN: Isu Memali kembali diperkatakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Dato’ Seri bertanggungjawab mengakibatkan peristiwa itu berlaku, adakah Dato’ Seri bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi tujuan tersebut?
PRESIDEN PAS: Ya, kita setuju ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) Isu Memali kerana kita lihat ia dimainkan sejak sekian lama untuk kepentingan politik pihak tertentu sehingga menafikan hak keluarga mangsa Memali dan juga anggota polis. Jadi kita harap kerajaan sekarang boleh segerakan menubuhkan dan menyiasat isu ini dengan telus dan saya bersedia untuk hadir memberi keterangan.
Saya juga sudah menulis beberapa buah buku tentang isu amanat dan isu kafir mengkafir. Buku saya sudah disiasat melalui Majlis Agama Islam peringkat negeri dan pusat, sehingga ini mereka menerima sebagai satu kajian ilmiah dan tidak menyentuh ketenteraman dan keamanan negara.
Alhamdulillah kalangan yang mengambil pendekatan yang keras dalam PAS, semuanya keluar daripada PAS sama ada mereka menyertai UMNO ataupun mereka mendiamkan diri.
MINGGUAN: Akhir sekali, apakah nasihat Dato’ Seri kepada semua kepemimpinan politik tanpa mengira parti dalam mereka membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum?
PRESIDEN PAS: Politik adalah salah satu daripada urusan agama. Jika ibadat ada batal dan sah, ekonomi ada halal dan haram, maka politik juga tidak lari adanya dosa dan pahala.
Dosa politik tidak boleh dihapuskan dengan menunaikan umrah dan haji, masuk Kaabah dan ziarah maqam Nabi semata-mata tapi boleh dihapuskan dengan bertaubat dan memulihkan keadaan negara menjadi lebih baik, kerana politik ada kaitan dengan urusan manusia.
Jika ada hak rakyat diambil secara salah, maka bertaubat dengan memulangkan kembali kepada rakyat. Jika ada dasar yang digubal secara batil dan merosakkan, maka dibetulkan dengan kembali kepada dasar Islam.
Kata Saidina Umar: “Sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan di dalam kebatilan”.
Keduanya, semua parti politik ada tanggungjawab menjaga keharmonian negara. Islam sebagai agama persekutuan perlu dihormati, tidak boleh ada cubaan untuk merosakkannya.
Hubungan antara kaum mesti dijaga dan tidak boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebab itu saya tegaskan dalam artikel sebelum ini bahawa Ketua Negara mesti dari Melayu Islam yang beriman dan budiman melaksanakan Islam keseluruhannya dengan adil untuk semua, kerana Melayu kaum yang paling majoriti dan berpengaruh.
Menteri kabinet dan exco kerajaan negeri boleh dilantik dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam mengikut kesesuaian bidang kuasa dan tugasan.
Akhir sekali, kita harapkan pilihan raya akan datang adalah pilihan raya paling bersih dalam sejarah negara. Parti-parti diberi hak sama rata dari sudut media, tiada politik wang atau campurtangan kuasa asing. Serahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan dan pemimpin negara.
Segala masalah negara diselesaikan secara harmoni dan adil di dalam negara. Kita ada badan kehakiman, peguam negara yang mesti dipisahkan dari kuasa eksekutif.
Mudah-mudahan negara kita menjadi negara yang sejahtera, yang adil dan harmoni dengan kembali kepada Islam.