Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Kerajaan perlu peka isu IMAMS dan tidak menekan umat Islam mengerjakan ibadah umrah

4565
SHARE

KERAJAAN PERLU PEKA ISU IMAMS DAN TIDAK MENEKAN UMAT ISLAM MENGERJAKAN IBADAH UMRAH

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Saya telah bangkitkan isu ini melalui Kenyataan Media Penerangan siri ke 157/28 bersamaan 30 Muharram 1439 / 21 Oktober 2017 yang lalu.

Mutakhir ini menjadi kecoh pula bila disebar bagaimana urusan umrah muslim diurus selia oleh bukan Islam, pengumuman cas GST dan sebagainya.

Saya mengharap satu jawapan dan tindakan yang tuntas daripada kerajaan dan bukan sekadar memberi alasan tetapi bertindak dengan suatu tindakan yang tidak merugikan umat Islam yang mahu menunaikan ibadah UMRAH.

Berikut kenyataan yang telah saya kemukakan kepada awam bahkan saya telah bangkitkan isu ini di Parlimen

SISTEM IMAMS MASIH KABUR

1. Kami sedang memantau isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) mengenai kewujudan sistem IMAMS sebagai ‘one-stop centre’ kepada pengendali syarikat pakej umrah.

2. Pertama, kerajaan dilihat masih gagal menjelaskan di mana kedudukan IMAMS dalam struktur melibatkan isu pemberian lesen khas umrah (LKU) mahupun melibatkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

3. Sukar untuk ditentukan dengan jelas apa fungsi yang dimainkan oleh IMAMS dalam ‘big picture’ pengendalian pakej umrah dengan pengenalan LKU.

4. Sedang penubuhan MKSU pada Ogos 2014 itu sudah tepat dan komprehensif merangkumi 13 agensi utama termasuklah TH, KPDNKK, PDRM, Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA, JAWHAR dan sebagainya.

5. Manakala pengenalan LKU pada Oktober lalu adalah langkah yang baik bagi mengelakkan peningkatan kes-kes penipuan umrah ini. Ia sudah memadai dan sesuai dengan Akta Industri Pelancongan 1992 juga Peraturan Industri Pelancongan 1992 (PPIP 1992).

6. Jawapan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pada 14 Ogos yang lalu ketika persidangan Dewan Negara juga menyentuh tentang MKSU dan LKU sahaja tanpa menyebut peranan IMAMS dalam menangani kes penipuan pakej umrah. Jadi, di mana sebenarnya kedudukan IMAMS? Itu jadi persoalan asas di sini.

7. Rentetan daripada persoalan pertama tadi, isu mengenai insurans dan GST yang termasuk dalam pakej RM90.10 yang dikenakan pihak IMAMS itu suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

8. Peraturan 6(1A) PPIP 1992 antara lain menyebut tentang Skim Takaful Umrah bagi jemaah ketika berhadapan dengan kes kecemasan, penyakit mahupun kematian. Malah, peraturan tersebut menyebut tentang tidak boleh menjual pakej tersebut kepada pengendali pelancongan lain.

9. Adakah IMAMS termasuk dalam “pengendali pelancongan” yang lain? Maka, ia bertentangan dengan peraturan tadi. Tambahan pula, apakah tujuan caj tambahan RM90.10 itu dibayar sedangkan takaful para jemaah sudah dijamin?

10. Ini merumitkan lagi kemelut yang melanda. Menyelesaikan suatu perkara dengan cara mengetatkan undang-undang atau peraturan seperti pemberian lesen yang lebih ketat dan sebagainya adalah satu tindakan yang sepatutnya, tetapi bukan sampai peraturan yang dicipta itu menyusahkan dan membebankan pihak lain.

Sekian.