Home Berita PAS Selangor

Budaya Politik Matang dan Sejahtera – PAS Kawasan Sepang

2195
SHARE
Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS)

Siri 1: Muqaddimah
Transformasi imej yang sedang diolah oleh PAS bagi mendepani cabaran perjuangan dan persekitaran politik semasa hari ini telah mula menarik perhatian umum. Banyak maklum balas telah diterima untuk menambah baik dan mengemaskini agenda pemerkasaan parti dan tranformasi imej. PAS menyambut mesra pelbagai pandangan dan saranan, sementara itu PAS terus memacu perjuangan dengan membudayakan politik matang dan sejahtera dalam semua gerak kerja pendekatannya.

Definisi Budaya Politik Matang Dan Sejahtera

Sebuah budaya berpolitik yang berteraskan kepada;

i. kematangan dalam membuat keputusan dan tindakan,
ii. berlandaskan Al Quran dan As Sunnah,
iii. sesuai dengan realiti masyarakat,
iv. dan bermatlamatkan;
-> kesejahteraan rakyat,
-> kemakmuran negara,
-> keredhaan Allah SWT.

Siri 2: Sikap PAS Terhadap Assabiquunal Awwalun
Terdapat pandangan sinis dilemparkan kepada PAS kononnya hari ini baru nak matang? Apakah orang terdahulu tidak matang? Apakah usaha pimpinan terdahulu tidak betul?

Transformasi imej ini adalah tindakan dan pendekatan semasa PAS mendepani cabaran. Ia bukan satu tindakan untuk menafikan apa yang dilakukan oleh mereka terdahulu. Sebaliknya pendekatan dan tindakan pimpinan dan generasi terdahulu adalah terbaik dan sesuai pada zaman mereka. Semoga Allah SWT melimpahkan ganjaran sewajarnya atas usaha mereka memperjuang dan mempertahankan Islam bersama PAS, jua diampunkan segala kesalahan mereka terdahulu.

Islam mengajar kita menghiasi diri dengan akhlak terhadap generasi terdahulu. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

” Dan orang-orang (Islam) yang datang sesudah mereka , mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Amat Melimpah Belas kasihan dan lagi Maha Penyayang “. (Surah Al Hasyr:10)

Siri 3: Muwaajahah Silmiyah (Pendekatan Secara Aman)
PAS adalah sebuah gerakan Islam yang didaftarkan sebagai parti politik dan mengambil ruang demokrasi untuk menyampaikan dakwah Islam serta mendaulatkan syariat Islam di bumi Malaysia ini. PAS tidak memilih gerakan revolusi atau gerakan subversif sebaliknya PAS mengambil pendekatan secara aman dan damai untuk menjana kemenangan dalam pilihanraya bagi memiliki kuasa politik ke arah merealisasikan perubahan pada dasar dan sistem negara.

Strategi umum Muwajahah Silmiyah untuk memenangi pilihanraya ialah terhenti diatas dua noktah.

Pertama: Memenangi hati rakyat bahawa PAS adalah parti terbaik.

Kedua: Meyakinkan rakyat bahawa PAS mampu memerintah.

Justeru itu, kematangan dan kesejahteraan politik yang dipersembahkan oleh PAS untuk menjayakan strategi umum Muwajahah Silmiyah tersebut adalah dengan mempraktiskan wahyu Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

” Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya “. {3:159}

Hayati sifat dan sikap yang digariskan oleh Allah SWT dalam ayat di atas.

Siri 4: Anjakan Budaya Politik Negara
Kini PAS sedang mengorak langkah untuk menerajui anjakan budaya politik negara, daripada politik konvensional tinggal penjajah kepada meletakkan prinsip politik Islam berteraskan panduan Al Quran dan Hadis Nabi SAW. Langkah ini adalah membersihkan politik negara dari budaya negatif dan digantikan dengan budaya politik yang matang dan menepati syara’.

Negara perlu anjakan budaya politik ini demi pembinaan tamadun atau peradaban yang hebat pada masa depan. PAS mengambil tanggungjawab ini dengan penuh sedar bahawa negara tercinta ini memerlukan perubahan yang total dan optimis bahawa ia boleh dilakukan denga baik dan berkesab di bawah sinar petunjuk wahyu Allah swt dan sunnah NabiNya saw.

Siri 5: Realiti Budaya Masyarakat Malaysia
Menganalisa kedudukan sosia budaya masyarakat Malaysia, kita dapati secara umumnya ia berbentuk dengan sifat lemah lembut dan sopan santun, sesuai dengan sejarah kemasukan Islam dan kemerdekaan negara.

Justeru itu, rata-rata rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan budaya ini mulai bosan serta jemu dengan karenahdan budaya politik yang agresif, kasar, kesat, fitnah, adu domba dan akhirnya membawa kepada perpecahan serta benci membenci antara satu sama lain.

Ternyata negara sangat memerlukan anjakan budaya politik kepada yang lebih matang, sejahtera, bertanggungjawab, harmonis. PAS sebagai sebuah parti politik Islam sangat memahami realiti ini lantas segera memposisikan diri untuk menerajui budaya politik matang dan sejahtera. Pendekatan ini adalah lebih sesuai bagi PAS sebagai sebuah gerakan tarbiyah, dakwah dan siasah serta dalam masa yang sama, pendekatan ini lebih dekat di hati masyarakat.

Dipetik dari:
Buku Budaya Politik Matang Dan Sejahtera terbitan Jabatan Penerangan Malaysia

#PASPilihanku
#SejahteraBersamaIslam
#MaraMenujuCita
#Green4U

Jom like FB Page: *Pemuda PAS Sepang*