Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan negeri tunggu laporan Jabatan Perhutanan

975
SHARE

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menunggu laporan Jabatan Perhutanan Negeri berkaitan sekatan laluan lori balak oleh sekumpulan masyarakat Orang Asal di pedalaman Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, laporan itu perlu bagi mendapat gambaran sebenar melibatkan Orang Asal di Kampung Peralong, Pos Bihai, Gua Musang.

“Kerajaan negeri perlu menunggu hasil laporan berkaitan perkara itu sebelum membuat sebarang ulasan.

“Kita tunggu hasil laporan Jabatan Perhutanan kemudian baru tindakan susulan boleh diambil,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Maahad Muhammadi Perempuan, di sini semalam.Mesyuarat agung itu dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan, Ahmad Yakob.

Baru-baru ini sekumpulan penduduk Orang Asal mengadakan sekatan di laluan lori balak di Kampung Cawas, Pos Bihai.

Bagaimanapun tindakan tersebut yang dipercayai didalang NGO Jaringan tidak disenangi masyarakat Orang Asal suku Temiang apabila mereka membuat laporan polis terhadap sekatan terbabit.- HARAKAHDAILY 23/2/2018