Home Berita PAS Kedah

Kerajaan Negeri Kedah peruntuk sumbangan khairat kematian

1452
SHARE

PENDANG – Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM300 bagi setiap keluarga yang ahli keluarga mereka meninggal dunia.

ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, pemberian tersebut untuk semua rakyat negeri ini termasuk di DUN diwakili pembangkang.

Jelas beliau, sumbangan tersebut bagi meringankan beban mereka bagi melaksanakan atau menyempurnakan pengurusan jenazah setelah berlaku kematian ahli keluarga.

Beliau memberitahu demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada 70 keluarga atau penerima di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang/DUN Tokai, di sini.

“Hantar surat permohonan dan kita akan proses. Jumlah sumbangan adalah RM300. Kita tak kira warna kulit, parti politik, bangsa mahupun agama. Semua kita bagi,” ujarnya semalam.

Maklum beliau juga, penyaluran sumbangan wang itu adalah melalui prosedur di peringkat negeri sebelum diserahkan melalui pusat khidmat wakil rakyat masing-masing.

Beliau yang memegang portfolio Kesihatan turut menyampaikan nasihat agar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sentiasa diamalkan oleh penduduk.

Dr Hayati berharap tidak berlaku kluster dari masjid berikutan ibadah Ramadhan ketika ini kerana peningkatan kes dalam negeri masih lagi berlaku dan perlu diwaspadai oleh semua.

“Kita sama-sama jaga kita. Mohon doa agar Allah angkat bala ini dan saya seru semua untuk daftar bagi suntikan vaksin COVID-19 untuk bentuk imuniti kelompok,” katanya.