Home Berita PAS Melaka

RM37 juta lagi pinjaman SPIN belum dipohon – Mas Ermieyati

225
SHARE

Oleh IBNU JANIE

HANG TUAH JAYA, 30 Apr : Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata sebanyak RM37 juta lagi dana pinjaman Skim Pembiayaan Informal (SPIN) belum dipohon usahawan.

“Setakat ni RM12.9 juta telah diagihkan kepada 2154 orang usahawan yang memohon dan kita ada lebih kurang RM37 juta lagi berbaki sebab dalam pembiayaan SPIN di bawah TEKUN Nasional ini kerajaan telah memberi peruntukan dana sebanyak RM50 juta untuk dihabiskan tahun ini.

“Saya menyeru usahawan-usahawan informal agar memohon pinjaman Skim Pembiayaan Informal (SPIN) untuk membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19,” ujar beliau.

Menurut Mas Ermieyati skim pinjaman ini sungguh mudah dan menfokuskan kepada usahawan-usahawan informal iaitu mereka yang tidak mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Dan ia sangat mudah. Untuk mereka (usahawan) yang tidak mempunyai SSM, mereka boleh memohon skim ini. Proses permohonan hanya tujuh hari sahaja sebab kita nak tolong usahawan segera.

“Ini adalah merupakan hasrat YB Menteri (MEDAC) untuk memperkasakan usahawan-usahawan informal supaya mereka dapat sama-sama membangunkan bisnes dan akhirnya mereka dapat keluar daripada (kategori) usahawan informal dan terus kepada sektor yang lain yang lebih besar.

“Pembiayaan adalah sebanyak RM5 ribu (maksimum). Selama tiga tahun (tempoh bayar balik. Kalau pinjam RM1000, sebulan lebih kurang RM32 (ansuran bulanan),” ujar beliau lagi.

Menurut beliau lagi majoriti yang memohon setakat ini kebanyakannya daripada kategori perniagaan perkhidmatan seperti tukang gunting rambut.

Tambah beliau lagi semua program yang diwujudkan ini adalah antara usaha kerajaan untuk membantu usahawan-usahawan untuk keluar daripada masalah perniagaan dan krisis kewangan mereka akibat Covid-19.

Malah menurut beliau, memang sudah ramai antara mereka yang mengikuti program-program usahawan di bawah MEDAC telah pun berjaya keluar daripada krisis kewangan mereka.

“Apabila ini adalah ‘wave’ (Covid-19) yang keempat kita mengharapkan mereka bertahan. Jadi apa juga bantuan yang kita berikan (bertujuan) supaya mereka bertahan.

“Dan supaya mereka ada modal untuk mereka gunakan sebagai modal kerja mereka supaya mereka dapat terus ‘survive’,” tambah beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa ramai juga antara usahawan mikro yang mengikuti program usahawan di bawah MEDAC ini adalah mereka yang baru menceburkan diri semasa berlaku Covid-19 dan mereka kini berjaya dengan perniagaan mereka itu.

“Sebenarnya ada banyak cerita (kejayaan usahawan mengharungi kesan pandemik Covid-19) yang memberikan sumber inspirasi dan juga cerita kejayaan usahawan-usahawan ini yang harus kita pamerkan.

“Bagaimana kekentalan mereka berhadapan dengan situasi pandemik. Bagaimana mereka keluar daripada kepayahan,” kata Timbalan Menteri itu lagi.

Beliau menjelaskan bahawa Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebuah agensi di bawah MEDAC, sebenarnya telah melatih ramai usahawan-usahawan semasa di dalam krisis pandemik Covid-19.

Kata beliau lagi, baru-baru ini INSKEN telah mengadakan program iaitu INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) yang mana telah melatih golongan usahawan ini selama empat bulan.

Menurut Mas Ermieyati rekod menunjukkan ada daripada usahawan ini yang mencapai prestasi sasaran lebih daripada 400 peratus.

“Ini adalah cerita-cerita kejayaan yang mana mereka bertahan dengan hasil sokongan, dengan hasil ‘coaching’, ‘mentoring’ daripada pihak INSKEN juga sebenarnya telah membuahkan hasil.

“Dan kita berharap agar lebih banyak lagi ‘allocation’ diberikan untuk INSKEN supaya lebih ramai lagi dapat kita latih usahawan-usahawan ini,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, terdapat juga usahawan yang mengubah jenis perniagaan daripada satu sektor ke sektor yang lain kerana perniagaan lama mereka terjejas akibat Covid-19.

“Contohnya dulu dia buat spa. Bila spa tidak boleh, mereka jual kueh. So, banyak yang bertukar. Melalui INSKEN ini ada melatih ikut industri masing-masing. Dan ini sebenarnya yang memberi ‘impact’ kepada mereka,” ujar beliau lagi.

Beliau semasa ditemuramah turut menyeru pengamal media agar membantu beliau dalam mempromosikan produk-produk kementeriannya itu agar maklumat itu sampai kepada golongan sasaran.

“Sesungguhnya ini (program meraikan media) adalah usaha yang baik untuk kita sama-sama merapatkan silaturrahim di antara media dan warga kerja MEDAC.

“Dengan adanya hubungan yang baik kita akan dapat saling memahami dan juga kita dapat menterjemahkan kepada gerak kerja yang lebih baik dan lebih berkesan.

“Terutama sekali untuk memaklumkan dan memberi pemahaman kepada masyarakat Malaysia tentang apa juga produk yang ada oleh MEDAC,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menjelaskan perkara ini dalam satu sidang media seusai majlis berbuka puasa anjuran kementerian beliau bagi meraikan pengamal media, anak-anak yatim dan warga kerja MEDAC di negeri Melaka pada petang semalam.

Program yang berlangsung di Ames Hotel Ayer Keroh ini dihadiri oleh 80 orang warga media Melaka, 10 orang anak yatim dan 60 orang warga kerja MEDAC di negeri Melaka di mana Mas Ermieyati turut menyampaikan cenderahati buat semua tetamu yang hadir sebagai penghargaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Malaysia, Dato’ Adam Abd Ghani sebagai tetamu kehormat.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .