KOTA BHARU, 29 September: Nikmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi hari ini adalah berkat jasa, bakti dan pengorbanan para anggota tentera. Oleh hal demikian, kerajaan sentiasa memastikan kebajikan para anggota tentera terus diberi keutamaan agar segala jasa dan peranan anggota tentera dijaga untuk berkhidmat kepada negara.
Menurut Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, beliau cukup berbangga dengan peranan dan komitmen yang diambil oleh anggota tentera yang sentiasa bersiap siaga untuk berkhidmat kepada rakyat terutamanya pada musim penularan wabak COVID-19 dan musibah banjir yang berlaku baru-baru ini.
Katanya, selain memastikan OPS Benteng berjaya dilaksanakan di sempadan, pada saat banjir juga anggota tentera membantu melalui OPS Murni yang mana Kerajaan Negeri sangat bergantung kepada aset, logistik dan kepakaran tentera terutamanya bagi urusan pemindahan mangsa banjir.
“Pada tahun ini Kerajaan Negeri telah membuat perancangan rapi bagi menghadapai persediaan banjir serta telah mengenalpasti 442 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menempatkan sehingga 170 ribu mangsa banjir. InsyAllah, dengan berkat kerjasama semua pihak khususnya pasukan tentera diharap kita dapat pastikan keselamatan rakyat pada situasi tersebut dan kita berdoa agar kita tidak menerima banjir besar pada tahun ini.”
Demikian menurut Dato’ Ahmad Yaakob di Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra YAB Menteri Besar Kelantan dan YB Timbalan Menteri Pertahanan Bersama Warga 8 Briged Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, semalam.
Sehubungan itu juga, Menteri Besar Kelantan merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Ikmal Hisyam Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia dan Yang Berbahagia Briged Jeneral Abu Hassan Assha’ari bin Khamis @ Shaffiee Panglima 8 Briged atas usaha menjayakan program tersebut.
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan RM35,000 kepada Masjid Jamek An Nur, Kem Desa Pahlawan bagi kegunaan masjid termasuk mengadakan program atau aktiviti kerohanian.