Home Berita PAS Kelantan

Kerajaan negeri berjaya laksana 90 peratus janji manifesto

112
SHARE

PASIR PUTEH, 8 Ogos: Sebanyak 90 peratus janji-janji yang terkandung dalam manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lepas, telah berjaya ditunaikan dengan baik dan sempurna, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, YB Wan Roslan Wan Hamat.

Bagaimanapun, hanya 10 peratus sahaja lagi yang belum dilaksanakan iaitu Bazar Emas di bawah segmen pembangunan belia bermaruah.

“Pada kempen PRU ke-14 lepas, kita kemukakan 14 tawaran untuk dilaksanakan, dan alhamdulillah pihak kita telah berjaya laksanakan serta dapat buktikan pelaksanaannya itu kepada rakyat.

Kita pun dalam bahagian portfolio Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya pengerusikan juga secara keseluruhannya sudah dilaksanakan lebih 90 peratus,” katanya pada sidang akhbar ketika ditemui di Tok Aman Bali Beach Resort, Sabtu lalu.

Terdahulu pada PRU14 lepas, sebanyak 14 teras utama yang ditawarkan terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum, antaranya mendaulatkan Islam, meneruskan kecemerlangan pendidikan, menyuburkan ekonomi dan memperkasakan pembinaan rumah rakyat.

Selain menyenaraikan hasrat untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, kelestarian alam sekitar juga turut dititikberatkan di samping meningkatkan kemudahan asas, pembinaan Kelantan sejahtera, memperkasakan sektor pelancongan Islam dan pertanian serta golongan belia dan kaum wanita.