Home Kenyataan Media PAS Melaka

Kenyataan Media : Penyebaran Coronavirus Di Malaysia – Nyawa Adalah Lebih Penting Dari Dunia 

984
SHARE

1. PAS Melaka menyambut baik langkah yang diambil oleh Negara China melarang 30 juta rakyatnya dari melakukan perjalanan keluar negara. Ini adalah bertujuan bagi membendung tersebarnya Novel Coronavirus yang telah meragut 54 nyawa serta telah menjangkiti sekitar 1,600 orang diseluruh dunia hingga saat ini.

2. Virus yang boleh tersebar dari haiwan ke manusia dan dari manusia ke manusia ini harus diberikan perhatian serius kerana ianya mempunyai persamaan genetic terhadap virus “Severe Acute Respiratory Syndrome “( SARS ) yang telah meragut 650 nyawa di China dan Hong Kong pada tahun 2002-2003.

3. PAS Melaka mengesa kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan pencegahan yang drastik dengan tidak membenarkan pelancong atau warga negara China masuk ke negara ini secara bebas tanpa perlu kepada visa dan peraturan kemasukan yang ketat. Ini berikutan wabak virus yang berasal dari Wuhan ini telah mula merebak dan tersebar di beberapa kota besar dalam negeri China seperti Shenzhen, Beijing dan Shanghai.

4. Tidak dinafikan kekuatan ekonomi China hari ini telah memacu rakyatnya untuk melakukan perjalanan keluar negara termasuk Malaysia yang menjadi salah satu destinasi popular mereka. Kedatangan pelancung China memang tidak diragui akan dapat memberikan suntikan kepada pendapatan negara. Tetapi Kerajaan harus sedar bahawa memelihara nyawa rakyatnya adalah lebih penting di saat wabak menular berbanding kepentingan ekonomi.

5. Langkah pencegahan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia adalah terlalu lambat dan tidak serius. Sepatutnya tindakan tegas yang diambil oleh Kerajaan Filipina dengan menghantar balik sejumlah 500 orang pelancong warga China dijadikan contoh tegas kerajaan dalam melindungi keselamatan rakyatnya.

6. Kita melihat bagaimana Islam meletakkan kepentingan menjaga nyawa umatnya lebih utama daripada hilangnya dunia.

Dari al-Baraa bin Aazib ra bahawa Nabi S.A.W bersabda;
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ مُؤْمِنٍ بِغَيْرِ حَقٍّ
“ Hilangnya dunia, lebih ringan bagi Allah dibandingnya terbunuhnya seorang mukmin tanpa hak” ( HR Nasai )

7. Oleh yang demikian PAS Melaka sekali lagi menggesa Kerajaan Malaysia agar memberikan keutamaan dalam memelihara dan melindungi keselamatan rakyat Malaysia melebihi keutamaan meraih ekonomi di saat menularnya wabak Virus Coronavirus yang boleh membawa maut ini.

8. Sesuai dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ), PAS Melaka menyeru agar orang ramai dapat menjaga kebersihan terutama kebersihan tangan di waktu kritikal ini bagi melindungi kebarangkalian jangkitan Novel Coronavirus. Kekerapan mencuci tangan adalah sangat-sangat digalakkan.

Bakri Jamaluddin
Ketua Penerangan PAS Melaka.
26.01.2020